fbpx

Pekebun haram Musang King diberi masa sehingga hujung bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sulaiman

MELAKA – Pekebun haram yang menanam pelbagai jenis tanaman termasuk durian Musang King di dua empangan negeri ini diberi masa sehingga hujung bulan ini untuk mengosongkan tanah rizab kerajaan itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, penceroboh akan diberikan notis terakhir untuk berbuat demikian sehingga 31 Mac sebelum proses tindakan akan diambil bermula 1 April ini.

Katanya, sehingga kini kira-kira 25 peratus daripada penceroboh masih berdegil untuk mengosongkan kawasan Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus, Jasin.

“Penceroboh akan diberikan notis terakhir untuk mengosongkan tanah rizab kerajaan ini sehingga hujung bulan atau sebelum 1 April ini.

“Adakah kita akan beri mereka pampasan? Kalau tanah kita diceroboh, adakah kita akan beri pampasan? Jadi persoalan itu tidak sepatutnya timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di di sini hari ini susulan keputusan mesyuarat Pengerusi Jawatankuasa semalam.

Tambahnya, sekiranya penceroboh masih berdegil, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

“Notis itu antaranya menyatakan mana-mana orang yang tanpa kebenaran yang sah menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau perlombongan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM10,000 atau penjara untuk maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Jelasnya, empangan di Melaka telah diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan di bawah Seksyen 4 Akta Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan 1959 melalui Perintah Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan (No.7) 2011 bagi Empangan Durian Tunggal dan Perintah Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan (No.5) 2010 bagi Empangan Jus.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan kerajaan negeri ini mengesan kegiatan tanaman haram termasuk durian Musang King, buah naga, sawit, pisang dan kelapa sawit di Empangan Durian Tunggal, di sini.

Sulaiman berkata, pencerobohan itu melibatkan kawasan seluas 188 hektar dengan 31.33 hektar dijadikan kawasan tanaman kontan, manakala selebihnya digunakan sebagai tapak rumah penginapan, pekerja asing, pam air dan chalet.

“Berdasarkan pemerhatian dijalankan, masih terdapat penceroboh yang mengusahakan tanah rizab empangan bagi tujuan pertanian seperti tanaman durian Musang King, kelapa sawit, buah naga, sireh, kelapa, pisang dan jambu dengan keluasan 52.7 ekar.

“Sebanyak 75 peratus daripada penceroboh telah mengosongkan kawasan rizab setelah diberikan notis pengosongan tapak oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI