fbpx

Isteri suap suami guna tiub khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZALEHA (tengah) mengharapkan ihsan orang ramai untuk membantu menguruskan suaminya yang lumpuh dan hilang ingatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Kampung Dalam Ru, Pasir Putih.

PASIR PUTEH – Tiada apa yang diharapkan oleh seorang isteri selain melihat suaminya kembali menjalani kehidupan normal.

Itu harapan Zaleha Manaf, 36, selepas dia kini terpaksa menjaga suaminya, Nik Rizuan Nik Pa, 38, yang disahkan lumpuh serta hilang ingatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru sejak September tahun lalu.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, buat masa ini dia perlu menguruskan keperluan suami setiap hari termasuk menyuapkan susu ke mulut Nik Rizuan menggunakan picagari dan tiub khas.

“Sebelum ini kami tinggal di Kuantan, Pahang dan suami pula bekerja sebagai buruh di sebuah kilang. Bagaimanapun, kami telah berpindah ke kampung halaman di Kampung Dalam Ru untuk meneruskan kehidupan ekoran kesukaran bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Tidak sampai sebulan pulang ke kampung, Nik Rizuan menghadapi kesukaran bernafas dan disahkan menghidap jangkitan kuman dalam paru-paru sehingga menyebabkan dia lumpuh dan hilang ingatan.

“Ketika suami disahkan menghidap penyakit itu, saya sedang mengandung tiga bulan. Saya bernasib baik kerana saudara mara, jiran-jiran bekas rakan sekolah tampil menghulurkan bantuan terutamanya bekalan makanan,” katanya katanya ketika ditemui di rumah abangnya di Kampung Dalam Ru di sini semalam.

Menurut Zaleha, meskipun sudah bersalin anak keempat baru-baru ini, dia tidak boleh keluar untuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan keluarga yang dianggarkan sebanyak RM1,000 sebulan termasuk pembelian susu dan lampin.

“Sesi persekolahan sudah bermula dan saya perlu memikirkan untuk menyediakan keperluan untuk Nik Nur Muhammad Aqiq Najwa, 12, dan adiknya Nik Nur Auna Najmi, 10, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Ru.

“Buat masa ini, saya amat memohon pertolongan individu atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu membawa suami ke Hospital Tengku Anis di sini pada 23 Mac ini untuk menerima rawatan lanjut. Saya sebenarnya sudah tidak mampu untuk menyewa ambulans atau pengangkutan lain,” ujarnya.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan daripada rombongan Puteri UMNO Negeri Kelantan diketuai oleh Marzuani Ardila Ariffin yang menyampaikan sumbangan kewangan dan bakul makanan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun Bank Simpanan Nasional, 1199-5411-0032-3627 atas nama Zaleha Manaf atau hubungi talian 013-9644537.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI