TAIPING – Sebanyak 31 buah premis yang menjalankan aktiviti judi haram di sekitar bandar Taiping telah diambil tindakan oleh polis pada tahun ini termasuk pemotongan bekalan elektrik.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam Ops Judi Awam yang dibuat pihaknya pada tahun ini, sebanyak 43 tangkapan telah dibuat membabitkan pemilik premis dan orang awam.
Menurutnya, tindakan bagi mengekang aktiviti judi berleluasa operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membuat pemotongan bekalan elektrik ke premis yang berkaitan.
“Antara judi yang dikesan adalah judi ekor, pertaruhan bookie kuda dan catat taruh haram yang berselindung di sebalik aktiviti perniagaan seperti kedai runcit.
“Sepanjang operasi itu, pelbagai peralatan termasuk mesin, komputer dan wang tunai telah dirampas manakala pemilik premis dan individu terlibat judi juga diambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat Ops Judi Awam di sini hari ini.
Menurutnya, dalam operasi hari ini, sebanyak lima premis di sekitar bandar ini telah pun diambil tindakan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 termasuk pemotongan bekalan elektrik dari pihak TNB.
Tambahnya lagi, operasi dibuat berdasarkan hasil aduan orang awam dan pemantauan daripada pihaknya.-K!ONLINE