fbpx
Shafien Mamat (kiri) menunjukkan senapang patah yang ditemui di dalam Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Ibrahim Ali, Pasir Mas Jumaat lalu.

Pemburu haram buang senapang, pistol dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Polis menemui dua laras senapang dan satu pistol yang dibuang ke dalam Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Ibrahim Ali dekat Tendong, Pasir Mas pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, selaras senapang patah, selaras senapang jenis AK47 dan satu pistol itu dipercayai dibuang oleh dua suspek ke dalam sungai itu untuk melupuskan bukti kegiatan pemburuan secara haram.

Katanya, senjata api itu ditemui hasil daripada bantuan Unit Selam Skuba Pasukan Polis Marin Wilayah, Kuantan, Pahang yang menjalankan operasi selepas menerima maklumat mengenai kes itu.

“Sebelum senjata itu ditemui, polis telah menahan lima lelaki berusia antara 30 hingga 59 tahun yang dipercayai memiliki senjata api secara haram dalam beberapa serbuan berasingan di tiga daerah iaitu Gua Musang, Machang dan Pasir Mas baru-baru ini.

“Tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun di tapak pembalakan di Kampung Meranto, Gua Musang pada 21 Februari lalu yang memiliki satu laras senapang patah dan 17 butir peluru,” pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang hari ini.

Menurut Shafien, soal siasat terhadap suspek, polis kemudian menahan majikannya yang berusia 32 tahun kerana dipercayai memiliki tiga laras senjata api yang dibeli di sekitar negeri ini dengan individu yang dikenalinya.

Ujarnya, hasil soal siasat, suspek mengakui bahawa tiga daripada empat senjata miliknya baru sahaja dibuang ke dalam sungai di Jambatan Ibrahim Ali.

Katanya, suspek memaklumkan bahawa senjata api itu dibuang ke dalam sungai oleh bapa dan adik iparnya bagi tujuan melupuskan bahan bukti bahawa mereka terlibat dalam kegiatan pemburuan haram.

“Sehubungan dengan itu, kita telah menjalankan operasi di dalam sungai di jambatan tersebut untuk mengesan senjata api yang dibuang oleh suspek.

“Siasatan awal mendapati, semua suspek yang terlibat dipercayai memiliki senjata api untuk tujuan kegunaan sendiri dan memburu secara haram,” katanya.

Tambah Shafien, semua suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga 9 dan 14 Mac ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa kebenaran dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru. – K! ONLINE