fbpx
Gambar fail menunjukkan logo syarikat farmaseutikal Jerman, Merck di ibu pejabat syarikat itu di Darmstadt, Jerman, pada 3 Mac 2015. - AFP

Peluang cerah rawat wabak Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERLIN – Gergasi farmaseutikal Jerman, Merck bersama rakan kongsi dari Amerika Syarikat (AS), Ridgeback Biotherapeutics melaporkan keputusan memberangsangkan ujian percubaan ubat antivirus Covid-19 yang dihasilkan dalam bentuk pil tablet , lapor agensi berita AFP kelmarin.

Ketua Pegawai Perubatan Ridgeback Biotherapeutics (AS), Wendy Painter, berkata, ubat antivirus oral itu dapat mengurangkan kandungan virus dalam badan pesakit Covid-19.

“Data keputusan ujian awal ini menjanjikan peluang cerah untuk kami menghasilkan ubat antivirus terutama dalam situasi semasa yang menyaksikan fokus utama masyarakat dunia adalah kepada vaksin Covid-19 berbanding ubat yang diterima pesakit ketika rawatan,” ujarnya.

Pada Januari lalu, Merck menghentikan kerja-kerja penghasilan dua jenis vaksin Covid-19, sebaliknya memberi tumpuan menumpukan kepada sektor penghasilan ubat antivirus bagi memerangi wabak maut ini.

Keputusan awal ujian klinikal syarikat ini turut menunjukkan risiko kematian atau jangkitan teruk sistem pernafasan dalam kalangan pesakit Covid-19 yang diberikan ubat tersebut berkurang lebih 50 peratus termasuk mereka yang mempunyai simptom sederhana dan serius.

Merck menjalankan penyelidikan berkenaan ubat antivirus berasaskan pil molnupiravir yang dibangunkan dengan kerjasama Ridgeback Biotherapeutics.

Ubat tersebut dilaporkan boleh mengurangkan kandungan virus Covid-19 dalam darah pesakit dengan ketara selepas lima hari rawatan, demikian menurut kenyataan rasmi Merck dalam persidangan dengan pakar-pakar penyakit berjangkit.

Setakat ini, ubat oral antivirus yang dibangunkan oleh Merck dan Ridgeback Biotherapeutics sudah berada di peringkat ujian fasa 2a daripada tiga peringkat yang perlu dilepasi sebelum mendapat kelulusan atau persetujuan penggunaan daripada pihak berkuasa makanan dan ubat-ubatan.

Penyelidikan menggunakan ubat antivirus tersebut sudah dijalankan ke atas 202 pesakit yang mempunyai gejala Covid-19.

Menurut Ridgeback, tiada isu timbul berkaitan keselamatan penggunaan ubat ini dan daripada empat insiden negatif yang dilaporkan dalam kalangan 202 pesakit yang diuji, tidak ada yang berpunca daripada pengambilan molnupiravir.

Sebelum ini, ubat oral antivirus seperti oseltamivir (Tamiflu) dan zanamivir (Relenza) digunakan bagi merawat wabak selesema bermusim namun sehingga kini, penyelidik belum berjaya menemui rawatan sama bagi Covid-19.

“Jika disokong kajian tambahan, ubat antivirus ini mungkin boleh mengubah impak kesihatan awam terutama ketika virus Covid-19 terus menular dan berevolusi di peringkat global,” kata penyelidik utama kajian ubat antivirus Covid-19 dan profesor perubatan dari Universiti Carolina Utara, William Fischer. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI