fbpx

Nenek 64 tahun dicekup bersama anak, menantu mengedar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara dadah yang dirampas.

ALOR GAJAH – Seorang wanita warga emas diberkas bersama-sama anak perempuan dan menantunya selepas dipercayai mengedar dadah secara kecil-kecilan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Bayu, Rembia di sini, kelmarin.

Warga emas berusia 64 tahun yang juga mempunyai 13 anak dan 29 cucu itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN).

Turut ditahan dalam serbuan itu adalah anak perempuannya berusia 25 tahun dan menantu 23 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, hasil aduan orang awam, sepasukan JSJN dan BSJN telah membuat serbuan pertama dan menahan tiga suspek termasuk dalang utama berusia 64 tahun.

“Hasil pemeriksaan di lokasi pertama menjumpai satu paket plastik berisi daun kering disyaki ganja dan dua papan timah mengandungi tiga biji pil eramin 5.

“Susulan itu kita menahan seorang wanita warga emas dan anak perempuannya serta menantu kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan setempat.

“Turut ditahan di lokasi adalah dua lelaki iaitu rakan mereka berusia 27 dan 23,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Melaka Pindah kira-kira pukul 12.20 pagi.

“Dalam serbuan kedua kita telah menahan sepasang kekasih iaitu seorang lelaki berusia 24 dan wanita 36 tahun yang merupakan rakan kepada anak suspek utama.

“Pemeriksaan di lokasi kedua menjumpai satu balutan kertas mampat seberat 9.73 gram disyaki ganja dan satu beg mengandungi sembilan peket plastik lutsinar dipercayai syabu seberat 54.16 gram bernilai kira-kira RM6,000,” katanya.

Katanya, warga emas berkenaan bersama-sama anak perempuan dan menantunya serta dua lagi suspek akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala pasangan kekasih disiasat mengikut Seksyen Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI