fbpx

Isu remaja rebel serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SYED MOHD. HAZIQUE SYED NOR
WARTAWAN EKSEKUTIF

REMAJA adalah tonggak ke­pimpinan serta masa hadapan negara. Mereka merupakan ge­nerasi yang akan membentuk negara nanti.

Walaubagaimanapun, banyak isu sosial yang melibatkan para remaja di negara sehingga ada yang melupakan adab dan me­nganggap perbuatan mereka sebagai perkara biasa.

Jika masalah sosial ini tidak dibendung atau ditangani dengan kadar segera, lebih banyak lagi masalah atau isu-isu sosial akan dibangkitkan nanti.

Baru-baru ini pula, tular di media sosial memaparkan pelajar membuang buku ke sungai, menconteng pakaian dengan kata-kata kesat kepada guru.

Apakah yang membuatkan mereka cenderung untuk me­lakukan perkara sebegitu, adakah mereka fikir itu merupakan antara salah satu cara untuk melepaskan tekanan yang dilalui.

Sebagai insan prihatin, penulis merasakan perkara ini serius kerana jika tidak dikawal dari sekarang, ia akan memberi impak yang negatif kepada masa hadapan negara kelak.

Namun, janganlah kita me­nuding jari sesama sendiri dan menyalahkan pihak-pihak lain dalam membentuk serta mendidik mereka.

Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, remaja masih mentah di dalam cara berfikir.

Katanya, walaupun mereka sudah mampu untuk berfikir, namun mereka tidak memikir kesan yang diterima pada masa hadapan.

“Mereka lebih cenderung untuk bertindak rebel atau memberontak, keluar daripada norma biasa yang dilakukan orang ramai.

“Perkara sebegini memang mengundang rasa marah pelbagai pihak, mereka seharusnya berfikir dengan lebih mendalam dan fahami kesan yang diterima ekoran tindakan yang diambil itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya lagi, faktor rakan sebaya juga memainkan peranan penting.

“Pergaulan semasa mereka meningkat usia ternyata memberi impak pada masa hadapan, oleh kerana itu sangat penting bagi ibu bapa melihat dengan siapa anak-anak kita bergaul.

“Janganlah kita lalai dengan kesibukan dan lupa untuk memberi perhatian kepada anak-anak remaja,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shukri berkata, faktor lain seperti tekanan lanjutan peperiksaan bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia, isu Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) juga mungkin antara punca remaja masa kini biadab atau rebel.

“Mungkin daripada sudut mereka, banyak tekanan emosi yang dihadapi dengan aspek lanjutan peperiksaan, sedikit seba­nyak memberi kesan kepada mental mereka.

“Ditambah pula dengan isu PdPR menyebabkan kesukaran untuk belajar, jadi ini mungkin menyebabkan mereka melepaskan segala tekanan dihadapi de­ngan keluar daripada norma biasa, justeru terjadinya biadab terhadap guru-guru atau membaling buku ke sungai seperti kes-kes terjadi sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, pakar sosial yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, impaknya sangat besar kepada negara jika masalah dalam kalangan remaja ini tidak ditangani dengan segera.

Katanya, remaja merupakan pelapis kepada pemimpin negara, mereka harus dijaga serta diberi didikan yang sempurna demi masa hadapan negara.

“Kemajuan kepimpinan negara di masa akan datang bergantung kepada remaja hari ini. Jika mereka hebat, maka negara turut menjadi hebat pada masa hadapan, namun jika berlaku sebaliknya maka banyak kesan buruk yang mungkin terjadi.

Katanya, didikan harus diberi bermula daripada adab kepada mereka.

“Jangan kita alpa, sedangkan di dalam rukun negara juga ada tertulis kesopanan dan kesusilaan, jika akhlak dan adab seseorang itu terjaga maka berjayalah individu tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI