fbpx
Gambar hiasan

Kuasa sebenar jenama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
WAKIL KOSMO! PERAK

BEBERAPA tahun lalu, restoran makanan segera yang terkenal di seluruh dunia, McDonald’s menerima tekanan hebat apabila rakyat Malaysia khususnya sebahagian umat Islam melancarkan boikot terhadap produknya.

Ia berikutan berita dan persepsi yang tersebar dengan mendakwa McDonald’s Malaysia me­nyumbang keuntungan mereka kepada Israel yang digunakan untuk membeli senjata perang bagi melawan penduduk Palestin.

Bukan sekali dua perkara tersebut berlaku, namun beberapa kali juga restoran makanan segera itu dipulau rakyat Malaysia apabila isu keganasan tentera Israel menyerang penduduk Pa­lestin timbul.

Bagaimanapun, isu boikot produk francais berasal dari Amerika Syarikat itu tidak bertahan lama apabila pengurusannya membuka mulut memberikan penjelasan kepada orang ramai dan selepas itu restorannya kembali dipenuhi orang ramai.

Perkara sama berlaku kepada restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC). Walaupun beberapa kali terpalit dengan isu, jenama tersebut masih digemari orang ramai.

Begitulah kuasa jenama atau ‘branding’ yang sangat penting dalam dunia perniagaan dan aspek itulah antara faktor utama sesebuah perniagaan bertahan lama.

Baru-baru ini pula, kecoh mengenai sebuah syarikat kurier, J&T Express apabila rakaman video pekerjanya mencampakkan bungkusan pelanggan yang berlaku di Gopeng, Perak tersebar kepada umum.

Pelbagai kecaman daripada orang ramai mengenai kejadian itu dan pihak J&T Express dan kakitangannya itu sendiri juga telah membuat permohonan maaf selain pihak pengurusan menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.

Mengulas mengenai isu jenama atau branding ini, Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI), Sharul Baha Abd. Rahman berkata, walaupun pada awalnya syarikat kurier tersebut mungkin terjejas daripada kejadian itu, namun akhirnya orang ramai akan kembali semula mendapatkan perkhidmatan mereka atas faktor kepercayaan.

“Itulah kepentingan ‘bran­ding’ dalam sesebuah perniagaan, terutamanya dalam bidang perkhidmatan yang berkait de­ngan orang ramai.

“Apabila nama mereka sudah melekat di hati, pelanggan akan kembali kepada mereka de­ngan syarat mereka memberikan per­khidmatan yang lagi baik selepas berlakunya sesuatu isu,” katanya.
J&T Express merupakan syarikat logistik yang berasal dari Indonesia yang ditubuhkan pada 2015 dan mula memasuki pasaran Malaysia dan Vietnam dua tahun selepas itu.

Ia kemudian mengembangkan lagi sayapnya apabila memasuki pasaran Filipina dan Thailand pada 2018 diikuti Singapura dan Kemboja (2019) selain negara besar China pada tahun lalu.

Menurut Sharul Baha, mengekalkan perkhidmatan yang baik dan mesra pelanggan itulah yang menjadikan sesebuah jenama atau produk terus diingati ramai walaupun dalam masa yang sama bersaing dengan pelbagai jenama lain di pasaran.

“Hal yang sama patut dipelajari peniaga dan usahawan kita yang mahu berkembang dan bertahan lama di pasaran.

“Mereka perlu mengekalkan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan di samping mengelak sebarang kejadian yang boleh menjejaskan reputasi mereka,” katanya.

Katanya, belajarlah daripada perniagaan yang telah lama bertapak di hati orang ramai sama seperti yang dilakukan McDo­nald’s dan KFC.

POPULAR