KUALA LUMPUR – Janda kaya dan memiliki harta yang banyak menjadi sasaran utama sindiket Love Scam atau kini lebih popular digelar kasanova maya yang mahu mengebas dan mengikis duit golongan itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kebanyakan janda yang menjadi mangsa penipuan kasanova maya berusia 40 tahun dan ke atas serta bekerja di syarikat swasta.
Menurutnya, berdasarkan statistik bagi tempoh dua tahun iaitu 2019 dan 2020, golongan janda paling ramai ditipu sindiket tersebut melibatkan seramai 1,750 orang.

“Kebanyakan janda pada usia ini dikategorikan sebagai golongan yang sudah stabil dari segi kewangan, malah mereka juga hidup dalam kemewahan dengan memiliki pelbagai aset sendiri termasuk rumah dan kereta mewah.
“Golongan janda amat memerlukan seseorang sebagai tempat mengadu serta berkongsi cerita kerana mereka hidup kesunyian dan kurang kasih sayang.
“Disebabkan ini, mereka mudah diperdaya kasanova maya dengan kata-kata manis sehingga menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam temu bual khas bersama Kosmo! di pejabat JSJK di Menara KPJ di sini, Selasa lalu.
Zainuddin memberitahu, sikap tamak dan mahukan keuntungan segera juga antara faktor golongan janda mudah termakan pujuk rayu kasanova maya untuk melabur dalam perniagaan yang tidak wujud.
Katanya, dalam tempoh dua tahun itu juga, duda adalah golongan kedua tertinggi yang menjadi mangsa penipuan melibatkan 695 orang, diikuti bujang seramai 522 mangsa dan mereka yang berkahwin pula sebanyak 150 orang.
Kebanyakan duda dipercayai sering ditipu sindiket Love Scam yang menyamar wanita.

“Selain itu, berdasarkan statistik JSJK, golongan wanita paling ramai menjadi mangsa penipuan kasanova maya berbanding lelaki. Sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan melibatkan wanita.
Zainuddin berkata, sebanyak RM137.4 juta kerugian dialami mangsa akibat terpedaya dengan penipuan sindiket kasanova maya bagi tempoh dua tahun iaitu 2019 dan 2020.
Menurut beliau, sebanyak RM79.1 juta kerugian direkodkan pada tahun 2019, manakala pada tahun 2020 pula sebanyak RM58.3 juta.
Menurutnya, mangsa di Selangor merekodkan jumlah kerugian paling tinggi dalam tempoh dua tahun itu sebanyak RM38.3 juta, diikuti Kuala Lumpur berjumlah RM26 juta dan Johor pula mendominasi tempat ketiga sebanyak RM13.8 juta.
“Kita lihat berlaku penurunan dari segi jumlah kerugian yang dialami mangsa dalam tempoh dua tahun berkenaan.
“Mungkin ia berkaitan dengan kesedaran mangsa yang semakin meningkat selepas menyedari taktik licik sindiket kasanova maya,” ujarnya.















