MENJADI rutin harian buat Saqdam Zaim Arffain, 30, untuk meluangkan masa di kebun bunga kantan miliknya yang terletak di pinggir jalan di Bangi, Selangor.
Lazimnya, Saqdam Zaim akan melakukan kerja-kerja seperti membersihkan kawasan kebun, mencantas, membaja dan menyemai anak-anak pokok.
Ada masanya dia akan menuai hasil tanaman bunga kantan sebelum dijual kepada para pelanggan setianya.
“Kebiasaannya bunga-bunga kantan ini saya akan tuai empat hari sekali.
“Setelah dituai, pada hari yang sama juga saya akan menjualnya kepada para pelanggan,” kata Saqdam Zaim kepada K2 ketika ditemui di kebunnya baru-baru ini.

Berbeza dengan anak-anak muda lain yang lebih gemar memilih kerja makan gaji, tetapi tidak bagi Saqdam Zaim. Dia memilih ‘bermain’ dengan tanah bagi mengusahakan tanaman bunga kantan.
Kini setelah enam tahun berbakti dengan tanah, usahawan muda bunga kantan ini boleh tersenyum lebar apabila hasil tanaman itu menjadi sumber utama mata pencariannya bagi menyara keluarga.
Saqdam Zaim yang mengusahakan tiga bidang tanah yang setiap satunya berkeluasan kira-kira 1,000 meter persegi menjelaskan, permintaan terhadap bunga kantan yang diterima olehnya amat baik.
“Saya juga terpaksa menolak sebahagian daripada permintaan kerana tidak cukup bekalan bunga kantan,” ujarnya.
Jelasnya, buat masa ini hanya sebidang tanah yang sudah mengeluarkan hasil untuk dituai manakala dua lagi bidang tanah yang masih baharu diusahakan sedang menunggu masa untuk berbunga memandangkan tanaman ini memerlukan masa agak lama untuk menuai hasilnya.
“Buat masa ini tanaman saya hanya mampu mengeluarkan hasil antara 400 hingga 500 bunga kantan untuk sekali tuaian. Begitupun, dalam sebulan, saya mampu untuk menjual antara 2,000 hingga 3,000 bunga kantan,” kata graduan Diploma Pengurusan Hotel dan Katering daripada Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam itu.
Dia yang meninggalkan pekerjaan sebagai tukang masak pada tahun 2016, kini mampu menarik nafas lega apabila berupaya meraih pendapatan lebih RM5,000 sebulan dengan mengusahakan tanaman bunga kantan.
Untuk makluman, harga pasaran bunga kantan pada masa ini adalah antara RM1.50 sehingga RM2.50 untuk sebatang.
Selalunya Saqdam Zaim menjual terus kepada pelanggannya pada harga RM1 bagi sebatang bunga kantan.

Saqdam Zaim menjelaskan, sebagai pengusaha bunga kantan, mereka harus mengetahui akan harga semasa bunga kantan.
Menurutnya, dia sendiri pernah ‘dibuli’ dengan beberapa orang peniaga pada awal penglibatannya sebagai penjual bunga kantan.
“Pada waktu itu ada peniaga di pasar terutamanya yang menawarkan harga serendah 20 sen untuk sebatang bunga kantan. Saya terpaksa menjual pada harga tersebut kerana bunga kantan akan rosak jika disimpan terlalu lama.
“Sejak dari itu, saya mula belajar untuk mengetahui harga semasa bunga kantan agar boleh dijual pada harga lebih munasabah, setimpal dengan penat lelah mengusahakannya,” tegas Saqdam yang kini menjual secara terus bunga kantan kepada pengusaha kedai runcit dan pemilik kedai makan.
Bercerita lanjut tentang tanaman bunga kantan, Saqdam Zaim berkata, tanaman tersebut boleh dianggap amat mudah untuk diusahakan walaupun agak ‘perit’ pada awalnya.
Ramai yang kurang mengusahakan tanaman ini kerana perlu menunggu sehingga dua tahun untuk menuai hasilnya.
“Tanaman kantan ini memerlukan masa selama dua tahun sebelum berbunga dan boleh dipetik. Tetapi setelah berbunga hasil tanaman ini boleh dipetik secara berterusan dalam tempoh empat hari sekali.
“Selagi ada rumpunnya, tumbuhan ini akan berbunga sampai bila-bila,” ujarnya.
Terangnya, penanaman tumbuhan itu adalah melalui rizom atau batang seperti akar yang diambil daripada pokok yang telah menghasilkan bunga kantan. Rizom tersebut kemudian ditanam di dalam tanah bersesuaian.
“Jarak setiap pokok yang ditanam kira-kira lima tapak kaki. Jarak ini penting kerana pokok ini kemudiannya akan tumbuh dalam bentuk rumpun.
“Tumbuhan ini juga mudah untuk dijaga dan tidak mudah terdedah kepada penyakit atau serangan serangga perosak. Apa yang boleh saya katakan, pokok kantan ini jenis tahan lasak. Tanaman ini tidak perlu disiram selalu dan boleh bertahan hanya dengan bantuan hujan. Ketika kemarau sekalipun tumbuhan ini masih kelihatan subur,” katanya yang kini hanya memperuntukkan masa selama empat jam di kebun setiap hari.
Menggunakan konsep semi organik dalam penanaman, dia juga tidak menggunakan sebarang racun selain memanfaatkan kembali anugerah alam itu.
“Sebagai contoh, daun-daun pokok ini yang dicantas saya tidak buang begitu sahaja, sebaliknya disusun di atas tanah di sekitar kawasan pokok. Fungsinya selain menghalang lalang tumbuh di kawasan sekitar, dapat juga mengekalkan kelembapan tanah. Daun-daun ini juga akan terurai dan menjadi baja organik,” kata bapa tiga anak itu.

Kongsi Saqdam Zaim, dia sebenarnya tidak merancang untuk mengusahakan penanaman kantan secara komersial.
Semuanya bermula selepas berhenti kerja sebagai tukang masak dan mendapati bapanya ada menanam pelbagai tanaman termasuk bunga kantan berdekatan rumahnya.
“Ketika itu ayah saya telah menanam lapan rumpun pokok kantan. Apabila di kedai saya melihat harga bunga kantan sekitar RM1.50 sebatang, saya merasakan potensi tanaman itu.
“Jadi saya kemudian membiak pokok milik ayah. Bermula dengan lapan rumpun, saya berjaya membiaknya menjadi hampir 400 rumpun,” katanya.
Memulakan pengusahaan tanaman itu dengan ilmu yang kosong, Saqdam Zaim kemudian banyak melakukan percubaan sendiri.
Selepas dua tahun, usahanya itu memberikan hasil dan sejak itu dia terus menumpukan perhatian kepada tanaman tersebut. Bagi memenuhi permintaan bunga kantan yang tidak pernah putus, Saqdam Zaim telah menambah tanaman itu di dua bidang tanah.
“Kedua-duanya masih belum mengeluarkan hasil. Sebidang tanah memerlukan masa lagi setahun untuk mengeluarkan hasil kerana ditanam pada awal tahun lalu manakala satu lagi baru dimulakan pada tahun ini,” jelasnya.
Tambahnya, dia kini tidak perlu keluar mencari pembeli bunga kantan sebaliknya mereka yang akan datang untuk mencarinya.
Kini keseluruhan tanaman kantan diusahakannya berjumlah lebih 1,300 rumpun pokok meliputi tiga kawasan berbeza.
Selain menjual bunga kantan, Saqdam Zaim turut menjual rizom tanaman tersebut yang berharga RM5 setiap satu kepada mereka yang ingin menanam kantan.















