fbpx

Pengacara dan pelakon Rina Gunawan meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina Gunawan meninggal dunia selepas seminggu mendapat rawatan akibat Covid-19.

PETALING JAYA – Pengacara dan pelakon terkenal Indonesia, Rina Gunawan dilaporkan meninggal dunia semalam selepas seminggu dirawat akibat mengalami gejala Covid-19 Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pertamina Simprug, Jakarta.

Bagaimanapun, punca kematian Rina atau nama lengkapnya Rina Mustikana Gumilang Gunawan, 47, masih belum dapat disahkan sama ada berpunca daripada jangkitan wabak pandemik tersebut ataupun disebabkan masalah asma yang dihidapinya.

Memetik laporan Kapanlagi, suami kepada Rina iaitu Teddy Syah memaklumkan bahawa isterinya memang dimasukkan ke ICU sebelum ini.

Tetapi dia tidak pasti dengan status sebenar tahap kesihatan isterinya sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan mengejut.

“Beberapa hari sebelum meninggal dunia, isteri saya dalam keadaan stabil. Tetapi dia berasa penat kerana bekerja,” katanya.

Jenazah pengacara itu dimakamkan di Tanah Perkuburan Tanah Kusir, Jakarta menggunakan peti yang dibungkus kemas dengan plastik mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Hanya keluarga terdekat sahaja dapat hadir ke acara pengebumian tetapi dibenarkan melihat dari jarak jauh.

Untuk rekod, Rina yang dilahirkan di Bandung memulakan karier dalam industri sebagai penyanyi pada 1996 dan menghasilkan album berjudul Yudi pada tahun sama.

Selepas itu, dia mula aktif sebagai pengacara dan pernah muncul sebagai pelakon sinetron antaranya Erte Erwe, Pat Pat Gulipat, Mat Angin dan Si Doel Anak Sekolahan.

Rina mendirikan rumah tangga bersama Teddy pada 1999 dan dikurniakan dua orang anak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI