fbpx
Abu Obaidat ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 peringkat JPBM di Ibu Pejabat Bomba Negeri Melaka, Bukit Katil di sini, hari ini.

Bomba Melaka kesan 12 ‘hotspot’ musim panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengesan 12 ‘lokasi panas’ kejadian kebakaran terbuka termasuk disebabkan sikap membakar daun-daun kering dan semak sepanjang musim panas ini.

Pengarah JBPM Melaka, Abu Obaidat Mohamad berkata, kebanyakan lokasi dikenal pasti melibatkan kawasan-kawasan tanah gambut yang mudah terbakar.

Katanya, daripada Januari sehingga Februari lalu, pihaknya telah melakukan sebanyak 457 operasi pemadaman membabitkan pembakaran terbuka.

“Jumlah kes pada tahun ini menurun sebanyak 62 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 531, namun kita telah mengenal pasti 12 lokasi panas yang sering dijadikan tempat pembakaran terbuka.

“Sehubungan itu, kita telah mengerahkan sepasukan anggota bersama-sama sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berhampiran untuk membuat pemantauan secara berkala bagi mengelak kejadian pembakaran terbuka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 peringkat JPBM di Ibu Pejabat Bomba Negeri Melaka, Bukit Katil di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, antaranya kes yang kerap berlaku adalah pembakaran disebabkan tindakan penduduk membakar daun-daun kering, semak-samun, sisa tanaman dan putung rokok dibuang pengguna jalan raya.

“Sebagai contoh kejadian pembakaran terbuka yang dilakukan oleh penduduk di kawasan taman di Bukit Beruang pada bulan Mac tahun lalu sehingga menyebabkan pasukan bomba terpaksa berhempas-pulas memadamkan kebakaran selama lebih dua hari.

“Baru-baru ini pula berlaku kebakaran di sebuah ladang sawit di Kampung Bukit Durian yang menyebabkan kira-kira 20 hektar kawasan tanah gambut terbakar dan pasukan kami mengambil masa lebih 96 jam memadamkan kebakaran,” katanya.

Tambahnya, beliau memohon rakyat negeri ini agar sama-sama menjaga alam sekitar dan tidak membuat pembakaran terbuka, apatah lagi pada musim cuaca panas ini.

Terdahulu, Abu Obaidat berkata, seramai 543 anggota dan pegawai JBPM negeri ini akan menerima suntikan vaksin fasa 1 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, seramai 246 anggota dan pegawai dari daerah Melaka Tengah akan menerima suntikan terlebih dahulu, disusuli anggota dan pegawai dari daerah Jasin dan Alor Gajah. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN