fbpx

Pemuda maut motosikal dilanggar pemandu mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Noor (kanan) menunjukkan MPV dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Lembing di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Dirempuh dari arah belakang sebelum motosikal diseret kira-kira 1.5 kilometer.

Itu nasib menimpa seorang pekerja kilang, Muhammad Akmal Hakim, apabila motosikal ditungganginya dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki mabuk dalam kejadian di Jalan Sungai Lembing, dekat sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 22 tahun yang bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian Gebeng, di sini, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala ke rumah ahli keluarganya di Kampung Padang.

“Pemandu MPV itu dipercayai memandu dalam keadaan laju sebelum merempuh motosikal dinaiki mangsa mengakibatkan mangsa terpelanting ke cermin hadapan kenderaan suspek.

“Suspek berusia 26 tahun itu kemudiannya menyeret motosikal mangsa dan terus memandu sejauh kira-kira 1.5 kilometer sebelum berhenti di hadapan rumah ahli keluarganya,” katanya dalam sidang akhbar di sini petang tadi.

Katanya, hasil ujian kandungan alkohol suspek yang tidak bekerja itu juga menunjukkan ia melebihi had yang dibenarkan ketika memandu.

“Suspek kini direman sehingga 4 Mac ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

“Bedah siasat mangsa akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi,” katanya.

Katanya, semakan ke atas kenderaan dipandu suspek juga mendapati kenderaan itu mempunyai lima saman tertunggak membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI