fbpx

Isu air di Kuala Kedah rumitkan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

MASALAH bekalan air yang menjejaskan rutin kehidupan kira-kira 25,000 penduduk di Kuala Kedah, Kedah bukanlah isu baharu kerana kisah mereka kerap mendapat perhatian media.

Bahkan, menurut penduduk, gangguan itu telah dialami sejak 10 tahun lalu secara berperingkat sehingga menyebabkan ada yang berpindah ke kawasan lain, asalkan bukan Kuala Kedah.

Dakwa penduduk, ramai yang menyewa rumah di Kuala Kedah hanya mampu tinggal di situ kurang setahun sebelum berpindah ke tempat lain.

Bagi yang mempunyai tanah dan membeli rumah di situ, pastinya mereka tiada pilihan lain selain terus tinggal di situ.

Penduduk mendakwa, mereka tidak menerima walau setitis air daripada paip Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) sejak setahun lalu.

Seorang penduduk di Kampung Tepi Laut, Bok Che Napiah, 55, berkata, kehidupan dia dan 10 lagi ahli keluarga sengsara apabila tidak lagi menerima bekalan air bersih sejak setahun lalu.

“Pada awalnya, bekalan air masih ada tetapi kerap mengalami gangguan dan bagi menyelesaikan masalah itu, saya beli lima pam untuk simpanan di tangki.

“Namun, sejak setahun lalu, air langsung tiada menyebabkan saya hanya guna pam untuk ambil air dari sungai,” katanya.

11 kawasan yang mengalami gangguan air melibatkan tujuh taman perumahan dan empat kampung antaranya Taman Armada Fasa Dua, Taman Sri Putra, Taman Desarina Indah 2 dan 3, Taman Nautika, Taman Nautika, Kampung Tepi Laut dan Kampung Tengah.

Menurut Bok Che, dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih RM1,000 untuk menyediakan bekalan air untuk minum dan memasak serta kos dobi.

Dalam pada itu, kebanyakan penduduk di Taman Armada Fasa Dua terpaksa menyediakan antara satu hingga lima tangki simpanan air termasuk diletakkan di bumbung rumah.

Penduduk mendakwa, mereka terpaksa bertahan kerana telah membeli rumah di situ dan tidak mampu menyewa rumah di kawasan lain.

“Saya pun mahu pindah jika rumah yang saya beli ini boleh dijual dengan mudah,” kata seorang lagi penduduk, Zabidi Ramli, 41,

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, masalah bekalan air berlaku disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Jitra yang tidak lagi dapat menampung keperluan penduduk.

Katanya, pembangunan pesat terutama sektor perumahan di kawasan tersebut menyebabkan permintaan bekalan air terawat meningkat, sedangkan kapasiti pengeluaran LRA masih sama.

“Selain itu, faktor lain ialah lokasi kawasan itu yang terletak di penghujung sistem agihan bekalan air bersih,” katanya.

Menurut Suraya, SADA telah mengaktifkan kembali rumahrumah pam di Taman Bersatu fasa satu, tiga dan empat untuk membantu menstabilkan bekalan air di kawasan tersebut selain menggerakkan lori tangki secara berjadual ke kawasan terjejas.

Tambahnya, langkah penyelesaian jangka masa panjang adalah cadangan menaik taraf LRA Pelubang, Jitra dan pemasangan paip khusus di kawasan terlibat yang akan dilaksanakan pembinaannya oleh Kerajaan Negeri Kedah melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, kerajaan negeri perlu serius dalam memastikan semua penduduk di Kuala Kedah tidak terus dibelenggu dengan masalah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI