fbpx

Tan Sri, Datuk dalang utama kartel dadah dalam pemerhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Taktik licik tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk berselindung di sebalik perniagaan seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan pengedaran dadah mereka dihidu pihak berkuasa akhirnya terbongkar.

Ketiga-tiga mereka yang berusia 45 tahun ke atas itu disyaki dalang utama kartel dadah di negara ini dan mereka juga dipercayai terlibat dalam pengedaran kokain ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, risikan awal mendapati orang suruhan kepada tiga individu itu akan menguruskan penghantaran dadah ke Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Australia menggunakan kargo udara dan khidmat perkapalan.

“Selain itu, mereka juga bertanggungjawab menguruskan tempat penyimpanan dadah di negara ini.

“Bagi mengelak maklumat bocor, mereka langsung tidak menggunakan khidmat kakitangan yang terbabit dalam perniagaan yang sah bagi kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik individu berstatus Tan Sri dan Datuk.

Mengulas perkara itu lagi, jelasnya, polis juga sedang mengumpul maklumat dan bukti kukuh daripada ahli sindiket pengedaran dadah tempatan yang sudah diberkas sebelum melakukan tindakan ke atas lelaki berpangkat Tan Sri dan Datuk itu.

“Kita mahu mengumpulkan bukti kukuh sebelum tangkapan dilaksanakan. Ini penting bagi memastikan ketiga-tiga dalang utama tersebut menerima hukuman yang setimpal,” ujarnya.

Dalam pada itu, ujar beliau, beberapa pengikut kepada dalang itu juga sudah diberkas dalam beberapa siri operasi sebelum ini yang melibatkan peringkat Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.

“Kita turut mengesyaki penglibatan tiga individu sama berkaitan rampasan 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang disembunyikan dalam arang batu di Terminal Kargo Utara Butterworth, Pulau Pinang pada 10 September 2019,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI