fbpx

Atikah Suhaime digelar pisau cukur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATIKAH SUHAIME

PERNAH terpalit beberapa episod hitam sepanjang kelana hidup berdepan suluhan glamor, bunga dari tanah Termasik itu tidak mahu kelopaknya kering lalu gugur tidak berbekas. Dia bangkit mengubat lara, meneruskan impian dan menyuburkan cinta yang singgah di hati.

Hanya empat bulan selepas mengejutkan industri dengan kisah perkahwinan yang tidak menjadi kenyataan bersama penyanyi Awi Rafael pada 2019, Atikah Suhaime juga pantas menemui pengganti.

Tiada lagi rahsia, pemilik nama sebenar Nur Atikah Mohd. Suhaime yang mesra disapa sebagai Atikah itu mengakui sedang melalui fasa bahagia bersama kekasih hatinya, Datuk Lokman Teh.

Enggan nikah secara dalam talian, Atikah mengimpikan hari bahagianya berlangsung meriah seperti yang diidamkan.

Lebih tiga tahun tanpa kisah yang sengaja menempah sensasi, tidak semua perlakuan Atikah bagaimanapun disenangi seluruh khalayak.

Paling teruk, gelaran pisau cukur tiba-tiba hinggap ke mukanya. Status si kekasih sebagai pewaris kekayaan keluarga membuatkan kelibat Atikah mudah dicemuh. Keterbukaan pelakon Dendam Cinta Arissa itu berkongsi momen-momen bahagia mereka dalam media sosial juga disalah erti.

Tergelak kecil sambil bercerita, Atikah mengakui, adat keterbukaan dalam laman sosial memang mudah mengundang prasangka.

Lontarkan apa sahaja dakwaan, pokok pangkalnya, khalayak hanya melihat secara luaran. Di sebalik apa yang terpapar, orang luar tidak tahu susah payah dialami.

MERANCANG berkahwin tahun ini, Atikah bagaimanapun mahu menunggu sehingga Covid-19 benar-benar reda.

Kekasih kaya

“Ramai sebenarnya yang cakap saya macam-macam seperti kaki kikis dan berlagak kerana mempunyai teman lelaki berduit.

“Kalau betullah saya tumpang kekayaannya dan hidup ditaja, tidak perlu rasanya saya bersusah-payah bekerja mencari rezeki untuk diri sendiri serta keluarga di Singapura,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ditohmah segala keperluan hidupnya ditanggung teman lelaki sama sekali tidak benar memandangkan dia masih bersengkang mata siang dan malam mencari sesuap nasi.

“Jika benar dakwaan tersebut, saya tidak akan berada di sini. Lebih baik pulang ke Singapura. Tidak perlu bekerja siang dan malam seperti sekarang.

Solekan: Emy Kajang (IG: @anggerikdesa) • Rambut: Iman Salon & Barber (IG: @imansalonbarber)

“Tetapi kalau betul terjadi, doakanlah untuk saya. Manalah tahu kalau saya boleh jadi Tai Tai (gelaran wanita kaya yang tidak bekerja dalam bahasa Kantonis),” selorohnya

Tutur pelakon berusia 30 tahun itu lagi, tuduhan negatif sebegitu mungkin timbul kerana dia gemar memberi jawapan tidak serius atau berseloroh setiap kali ditanya khalayak.

“Ada masanya saya suka membalas tuduhan netizen cara bergurau seperti ‘sekurang-kurangnya teman lelaki saya kaya, kau ada apa?’.

“Apa pun, mereka tahu apa yang saya hanya sekadar gurauan. Tiada niat lain pun,” katanya menjelaskan keadaan.

Ketika ini, fokus Atikah bukan hanya untuk diri sendiri. Sebagai anak, dia masih ada ibu bapa di Singapura untuk disara. Ibu bapa keutamaan pelakon yang pernah membintangi filem Highland Towers itu.

ATIKAH dituduh berlagak kerana mempunyai kekasih yang kaya-raya.

Enggan nikah ‘koboi’

Bahagia menyulam cinta, pastinya hubungan yang dibina mahu dibawa ke jenjang pelamin. Ditebak dengan soalan perihal kahwin, wanita berperwatakan manja itu memberitahu semuanya bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.

Kongsi pelakon yang pernah membintangi filem Indonesia, My Stupid Boss di samping Reza Rahadian dan Bunga Citra Lestari itu, dia dan kekasih merancang mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

“Sepatutnya direalisasikan pada tahun ini tetapi disebabkan Covid-19, saya tidak boleh nak rancang lebih-lebih.

“Kalau saya orang Malaysia, tiada masalah. Tetapi saya warganegara Singapura. Takkanlah saya nak nikah secara dalam talian sahaja, kasihan ibu bapa saya di sana tidak dapat melihat anak mereka kahwin,” katanya.

Bukan skeptikal dengan amalan norma baharu seperti perkahwinan secara dalam talian, sebaliknya Atikah tetap mengimpikan hari bahagianya berlangsung meriah seperti yang diidamkan

“Kahwin dalam drama bukan main meriah tetapi pernikahan sebenar setakat itu sahaja, tak mahulah. Jadi lebih baik saya bersabar dulu.

“Bukan menolak sepenuhnya, tetapi bagi saya, situasinya seperti kahwin ‘koboi’. Ibarat kahwin lari di Thailand,” katanya sambil menghambur tawa kecil.

BUKAN kaki kikis, bukan juga hidup mewah hasil tajaan daripada kekasih hati, Atikah sebaliknya masih perlu bekerja untuk mencari duit sendiri. – FARIZWAN HASBULLAH

Covid-19

Berberbicara soal kerjaya, Atikah mengakui agak terkesan susulan pandemik Covid-19.

Beberapa tawaran berlakon di Indonesia dan Singapura terpaksa ditolak.

“Saya percaya semua yang berlaku ada hikmah tersembunyi. Apabila jadi begini, semua orang perlu berfikir di luar kotak. Jangan tersekat dalam satu cara hidup sama. Perlu fikirkan alternatif lain untuk dapatkan rezeki,” luahnya.

Demi mencari pendapatan tambahan, pelakon filem Pencuri Hati Mr. Cinderella itu mewujudkan slot promosi atau ulasan produk dalam Instagram (IG reviu).

“Saya tidaklah aktif sangat, kadang-kadang saja. Niat sebenarnya mahu tolong bisnes rakan-rakan, tetapi tidak sangka pula boleh jadi sumber pendapatan sampingan,” ujarnya.

Memiliki seramai sejuta pengikut, Atikah cuma mempromosikan produk berupa pakaian atau makanan yang boleh dimakannya sahaja.

“Dapatlah juga saya bantu bisnes kecil-kecilan orang lain yang turut terkesan kerana pandemik Covid-19,” katanya menoktahkan perbualan.

ATIKAH turut menjalankan reviu produk dalam Instagram menambah pendapatan sepanjang PKP.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI