fbpx

Penghasut antivaksin kurang informasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK beberapa minggu lalu, laman media sosial terus hangat dengan komen-komen dilontarkan golongan antivaksin yang bertekad menolak program suntikan imunisasi tersebut.

Pastinya, pelbagai teori dan falsafah ‘difatwakan’ individu terbabit terhadap vaksin PfizerBioN-Tech yang diterima Kerajaan Malaysia pada Ahad lalu.

Banyak juga teori diciptakan mereka untuk memperlekehkan kedatangan vaksin itu, satu daripadanya ialah kononnya ia sebahagian agenda Freemasonry.

Ramai juga tertanya-tanya, rasional di sebalik teori sedemikian, di manakah sumbernya? Adakah sekadar carian di laman web?

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada berkata, pengikut antivaksin di negara ini wujud ekoran mereka kekurangan informasi.

“Tidak terlalu keterlaluan saya sifatkan, antivaksin muncul kerana mereka kurang maklumat, kalau ada informasi mencukupi, mungkin golongan ini tiada.

“Jika kita lihat, iklan-iklan berkaitan vaksin juga kurang di televisyen. Ini menjadi antara punca munculnya golongan itu,” katanya.

Susulan itu, kerajaan diminta untuk bersifat lebih proakif dalam menyalurkan informasi berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) agar rakyat tidak membuat tafsiran salah.

“Dalam konteks ini, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) perlu memainkan peranan dengan mewujudkan lebih banyak soalan lazim (FAQ) berkaitan vaksin untuk kefahaman rakyat.

“Kita juga memahami hak kebebasan bersuara setiap individu, tetapi jika kebebasan itu membawa kepada unsur hasutan, perkara itu perlu dikawal sebaiknya,” ujarnya.

Sementara itu, polis memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang kepada golongan antivaksin sekiranya terus menghasut orang ramai supaya menolak PICK di laman media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menjelaskan, golongan itu boleh disabitkan dengan kesalahan jika ada laporan polis dibuat terhadap mereka.

Siasatan itu termasuklah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ketakutan atau kegusaran awam dengan memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu boleh dikenakan sekiranya individu terbabit masih degil walaupun nasihat telah diberikan.

“Pihak berkuasa perlu menasihati individu itu terlebih dahulu jika hantaran atau komen mereka di sosial media keterlaluan. Namun, sekiranya masih degil, barulah boleh kenakan tindakan undang-undang.

“Kita bimbang, kenyataan keterlaluan ditulis individu antivaksin boleh menghasut lebih ramai orang untuk terlibat sama, lebih-lebih lagi mereka yang kekurangan informasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI