fbpx
MOHD. Shah Ezywan Abd. Rahman (tengah bertopi) dipenjara 30 hari dan dijatuhi hukuman denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,100 sejak dua tahun lalu. FOTO: MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

Pegawai Imigresen dipenjara 30 hari, denda RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang Pegawai Imigresen yang ditahan dalam Ops Selat sebelum ini dipenjara 30 hari dan dijatuhi hukuman denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,100 sejak dua tahun lalu.

Mohd. Shah Ezywan Abd. Rahman, 34, yang merupakan Pegawai Imigresen Gred KP19 membuat pengakuan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Sebelum ini, Mohd. Shah Ezywan telah dihadapkan ke mahkamah pada 26 Januari lalu atas 12 pertuduhan terbabit dalam penggubahan wang haram dan menerima rasuah bernilai RM885,950.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah masing-masing RM1,200 dan RM900 daripada seorang individu yang mana tertuduh mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi yang dilakukan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Nilai antara 7 Julai 2019 hingga 19 Mei 2020.

Mahkamah kemudian menetapkan Mohd. Shah Ezywan dijatuhi hukuman denda RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara 30 hari bagi kedua-dua pertuduhan (hukuman berjalan serentak), jika gagal membayar denda, tertuduh dikenakan penjara enam bulan.

Terdahulu, dalam prosiding pada 26 Januari lalu, Mohd Shah Ezywan yang ditahan dalam Ops Selat mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah mengikut Seksyen165 Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM885,950.

Bagaimanapun, mahkamah hari ini memerintahkan enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, digugurkan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak pelbagai aset berjumlah RM1,209,380.65 termasuk wang tunai, empat buah kereta dan barang kemas.

Empat buah kereta yang dilucut hak tersebut ialah Subaru Impreza, Honda Civic, Mitsubishi Lancer dan Toyota Supra.

Mohd. Shah Ezywan diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN