fbpx

Cinta Daniella untuk lelaki Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANIELLA SYA

SI jelitawan tinggi lampai bernama Daniella Sya itu beranggapan, soal hati merupakan satu hal di sebalik benteng privasi yang harus dipertahankan daripada terlalu dibuka kepada umum.

Hakikatnya, sudah tiga tahun pelakon berdarah Tionghua itu menyimpan kemas satu rahsia besar bahawa hatinya sudah diikat oleh seorang lelaki.

Tiba-tiba terbuka hati bercerita tentang cinta yang sedang bersemayam di jiwa, Daniella akur dengan satu perkara.

Tuturnya, sudah tiba masanya dia berterus-terang kepada peminat.

Selama ini, dia kerap menerima pertanyaan dalam media sosial tentang status hati sama ada masih solo ataupun sudah berpunya.

DALAM diam, Daniella menyimpan kemas soal rahsia hatinya daripada dihidu umum sehinggalah dia sendiri secara terbuka mengakui sedang bercinta dengan seorang lelaki Melayu sejak tiga tahun lalu.

“Sebenarnya saya seorang yang sangat menjaga privasi tetapi ramai peminat yang bertanya kenapa saya belum berkahwin lagi.

“Ada juga yang tanya kenapa tidak tayang kekasih hati.

“Bukan niat untuk hebohkan kisah cinta tetapi cukuplah sekadar pemberitahuan ini sebagai menjawab pertanyaan ramai.

“Pada masa sama, saya mahu orang tahu status diri saya yang sebenar,” ujarnya kepada HibGlam.

Enggan mendedahkan identiti jejaka yang bertakhta di hati, pelakon berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengakui kekasihnya seorang lelaki berbangsa Melayu.

Kenapa jejaka Melayu? Tiada ada alasan pelik yang diberikan Daniella. Dia hanya mengikut kata hati, selesa bersahabat dengan kenalan yang datang daripada pelbagai bangsa dan budaya.

SANGAT menghargai peluang dapat menonjolkan bakatnya dalam pasaran tempatan, Daniella mengakui dia tidak pernah sekali pun berdepan dengan situasi atau individu rasis meskipun kerap membaca berita tentang perkara tersebut. – IQBAL ROSLI

Beza budaya, yakin

“Saya lebih sukakan lelaki yang berlainan budaya. Tetapi bukanlah bermakna saya tolak semua lelaki Cina. Cuma saya gemar orang yang ada budaya berbeza.

“Barulah menarik. Sebab saya selalu berpendapat bahawa perhubungan merupakam sesuatu yang mencabar.

“Kalau sama, bosan juga kan. Kawan-kawan saya pun datang daripada berbilang latar belakang. Ada Cina, Melayu, India dan ‘Mat Salih’. Lagipun kita tinggal di Malaysia, itu baru betul berbilang bangsa,” selorohnya.

Tanpa berselindung sedikit pun, pelakon drama Setelah Ku Dimiliki itu mengakui dia terpaut pada ciri-ciri tertentu yang ada pada kekasihnya itu.

“Mestilah kena ada sifat penyayang. Cuma bagi saya, perkara paling utama, dia perlu ada keyakinan. Tetapi jangan sampai terlebih yakin sehingga menimbulkan perasaan ego.

“Sikap keyakinan perlu ada tetapi pada masa sama saya suka orang yang sentiasa merendah diri dalam apa jua perkara. Dia juga seorang yang peramah,” ujar Daniella yang meletakkan harapan untuk membawa hubungan tersebut ke fasa serius.

FAKTOR persekitaran dan dikelilingi rakan-rakan daripada pelbagai bangsa menjadi antara penyumbang yang menemukan cinta Daniella bersama seorang jejaka Melayu.

Populariti, peluang

Lebih sedekad portfolio seninya bermula dan tidak dinafikan kehadiran Daniella sudah disedari peminat. Namun berbanding rakan seangkatan yang lain, namanya belum cukup panas sebagai pilihan utama.

Bagaimanapun, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu tetap bersyukur dengan ruang dan peluang yang terhampar di depan mata.

Selepas membina nama di Singapura dari tahun 2012 hingga 2017 dan pulang semula ke tanah air, peluang untuknya sentiasa ada.

“Saya kembali aktif dalam lakonan di negara sendiri sebab bidang ini adalah yang paling saya cintai.

“Kalau diberikan naskhah yang mencabar, saya anggap itu sebagai tuah untuk membawa nama ke depan.

“Jika suatu hari nanti, nama saya tersenarai dalam pelakon kelas A, saya sangat berterima kasih. Jika sebaliknya berlaku, tidak mengapa. Asalkan saya dapat buat kerja yang diminati.

“Bukan soal nama yang menjadi buruan, cukup kalau diri ini masih diberi peluang melakukan kerja yang boleh membuatkan saya berasa bangga,” ujarnya.

Selain lakonan, dia juga memasang impian bergelar penerbit.

Setakat ini, dia juga belum terfikir untuk duduk di kerusi pengarah memandangkan ilmu di dada mencukupi.

Lahir sebagai anak Malaysia dan masih berpeluang bekerja menyara diri, pemilik nama lengkap, Daniella Sya Yeng Yeng itu juga tidak pernah berasa ralat tentang soal populariti.

Paling utama, dia bersyukur kerana di tanah inilah banyak rezeki menyapa dirinya dengan pelbagai peluang.

“Sejak pulang ke Malaysia, saya rasa sangat bertuah sebab setiap kali bekerja dengan mana-mana produksi, mereka sangat baik dan tidak pernah jemu memberi sokongan serta sokongan terhadap saya.

“Di tanah yang saya gelar ‘rumah’ inilah, saya boleh mencari rezeki dalam banyak bidang.

“Lagipun kehadiran selebriti berbeza bangsa dalam pasaran Melayu tidak begitu ramai, jadi keberadaan saya mudah diterima,” katanya yang terlebih dahulu memulakan kerjaya lakonan di Singapura sebelum dikenali di Malaysia.

DANIELLA terlebih dahulu memulakan kerjaya lakonan di Singapura sebelum dikenali di Malaysia.

Mengacara

Sempat berkongsi sedikit tentang perkembangan terkininya, selain bakal akan muncul sebagai pengacara dalam sebuah program televisyen, Daniella juga sudah dilamar untuk menjayakan sebuah drama bersiri tidak lama lagi.

Dia yang sebelum ini berpengalaman luas dalam penyampaian radio dan dunia pengacaraan bagaimanapun tetap diselubungi debaran setiap kali diberi tanggungjawab mengemudikan sebuah rancangan televisyen.

“Dunia pengacaraan lebih kurang sama seperti lakonan, ada peluang untuk berlatih dengan membaca skrip. Cuma saya tetap berasa gementar sebab kali terakhir terlibat dalam hos sekitar empat tahun lalu.

“Untuk lakonan pula, lebih baik saya tidak terlalu teruja bercerita. Bimbang pula takut tidak jadi,” tuturnya menutup bicara.

Busana: Calvin Thoo (Instagram @calvinthoo) Solekan: Vee Muhamad (Instagram @veemuhamad)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI