fbpx

Calon SPM perlu isi borang deklarasi saringan Covid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 dikehendaki mengisi borang deklarasi saringan Covid-19 bagi mengisytiharkan status kesihatan mereka setiap hari sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang minggu peperiksaan, ibu bapa perlu sentiasa memantau tahap kesihatan anak-anak mereka dan memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya anak-anak mereka menunjukkan sebarang gejala.

“Semasa di pusat peperiksaan, langkah-langkah pencegahan Covid-19 perlu sentiasa diamalkan seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci atau mensanitasi tangan, tidak berkongsi peralatan atau alat tulis dengan calon lain, serta mematuhi penjarakan fizikal.

“Perkara ini perlulah sentiasa diamalkan sebelum, semasa mahupun selepas menjalani peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, calon juga disarankan untuk menghadkan pergerakan mereka dan mengurangkan kontak sepanjang musim peperiksaan bagi mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, semua pihak yang terlibat dengan peperiksaan awam termasuk calon, petugas peperiksaan, pihak pentadbir, ibu bapa, dan penjaga supaya sentiasa mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam dalam norma baharu yang telah ditetapkan.

“Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan serta pihak pentadbir sekolah akan sentiasa mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan calon boleh menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan 401,105 calon SPM 2020 di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM tahun 2020.

Peperiksaan awam untuk calon-calon peperiksaan itu sedang berlangsung dari 22 Februari lalu hingga bulan April depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI