fbpx

K2

Ambil upah untuk beratur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UPAH untuk perkhidmatan beratur bagi pihak lain yang diterima agak lumayan menyebabkan ia begitu popular di New York pada masa ini.

WAKTU menunjukkan pukul 5.38 pagi dan sementara menanti sebuah klinik di Chambers Street di Manhattan, New York, Amerika Syarikat dibuka, kelihatan seorang lelaki sedang duduk di sebuah bangku di hadapan barisan orang yang sedang menunggu untuk melakukan ujian Covid-19.

Di sebelahnya direntangkan sehelai kertas yang bertulis menawarkan perkhidmatan beratur bagi pihak lain.

“Saya membiarkan kertas ini berbicara untuk pihak saya.

“Nota ini akan menjelaskan kepada orang lain bahawa seberapa awal saya datang beratur untuk pelanggan dan saya juga akan melakukan hal yang sama untuk mereka yang menggunakan perkhidmatan ini,” kata Robert Samuel.

Bagi penduduk di bandar raya New York, nama Samuel bukanlah sesuatu yang asing.

Dia adalah pengasas kepada syarikat yang dinamakan sebagai Same Ole Line Dudes Inc. (SOLD Inc).

Syarikat tersebut secara tradisinya menawarkan perkhidmatan beratur untuk pihak ketiga bagi mendapatkan sesuatu dan ia mendapat permintaan ramai.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah menjadi rahmat buat syarikat tersebut.

SEBELUM menanti giliran untuk melakukan ujian Covid-19, seseorang perlu beratur selama berjam-jam lamanya.

Ramai yang menggunakan perkhidmatan syarikat itu untuk beratur bagi pihak mereka ketika melakukan ujian Covid-19 di klinik awam dan swasta yang mengambil masa hingga empat jam atau lebih sebelum dilayan.

“Beratur untuk ujian Covid-19 adalah berbeza daripada yang kami biasa lakukan sebelum ini tetapi kami tetap melakukannya untuk para pelanggan,” kata Samuel.

Dia mendapat idea untuk memulakan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan beratur berbayar itu pada tahun 2012 setelah menjadi penganggur selepas diberhentikan kerja.

Dia kemudian menyiarkan iklan untuk perkhidmatan tersebut di platform Craigslist untuk menawarkan diri beratur di luar kedai Apple untuk mendapatkan iPhone 5 yang baru dilancarkan pada tahun tersebut.

Katanya, lelaki yang mengupahnya untuk beratur akhirnya mendapatkan iPhone 5 yang dibelinya secara online.

“Tetapi dia tetap membayar saya untuk beratur bagi mendapatkan telefon pintar itu yang perlu diambil di kedai Apple.

“Itu yang mendorong saya untuk beratur dan kemudian menjual tempat saya.

“Pada hari sama, saya telah dapat menjual tempat saya beberapa kali dan keesokan harinya mampu membeli iPhone 5 walaupun pada asalnya tidak berniat untuk membelinya,” ujar Samuel.

Sejak itu, perniagaannya telah berkembang sehingga mampu mengupah 15 pekerja.

Ketika pandemik Covid-19 mula merebak ke kota raya tersebut pada Mac tahun lalu, perniagaannya juga turut terjejas buat seketika.

TIGA pekerja SOLD. Inc bersembang ketika beratur bagi pihak pelanggan mereka di New York.

Tetapi ketika pengundian awal untuk pilihan raya pemilihan Presiden Amerika Syarikat pada November lalu menyebabkan perniagaan Samuel kembali bernafas.

“Kini 90 peratus pelanggan kami adalah mereka yang tidak mahu beratur untuk melakukan ujian Covid-19.

“Perkhidmatan itu juga mendapat permintaan tinggi sewaktu musim percutian yang mana sebilangan orang menawarkan perkhidmatan sedemikian mengenakan bayaran sehingga AS$80 (RM320) atau lebih untuk tempoh satu jam,” kata Samuel.

Dia menjelaskan, ada yang lebih suka beratur sendiri tetapi ada yang tidak punya masa untuk berbuat demikian dan kami menawarkan perkhidmatan ini kepada komuniti yang memerlukan.

Katanya lagi, ada orang yang tidak mempunyai masa untuk menunggu lama. Mungkin mereka mempunyai masalah untuk menjaga anak ataupun terpaksa bekerja.

Dalam pada itu, setelah menunggu selama dua jam dalam keadaan sejuk, Samuel akhirnya memberi laluan kepada pelanggannya iaitu Nick Sonnenberg yang datang untuk mengambil tempatnya.

“Sekarang, masa saya bernilai ratusan dolar sejam.

“Oleh itu, saya sanggup membayar seseorang untuk bangun dan berdiri seawal 5.45 pagi ketika musim sejuk untuk saya. Ini akan memberi saya lebih banyak waktu untuk tidur dan ia sangat berharga bagi saya,” kata Sonnenberg yang merupakan seorang usahawan berjaya.

Dalam pada itu, sebaik klinik dibuka untuk ujian Covid-19 dan barisan mula bergerak termasuk Sophia Tomasulo yang baru pulang ke rumah dari Universiti Tulane untuk cuti semester.

Menurutnya, sangat menjengkelkan apabila ada yang sanggup membayar orang lain untuk beratur bagi ujian Covid-19 yang pertama.
“Covid-19 ini tidak mengenal sesiapa dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja,” katanya.

Sementara itu, amalan perkhidmatan tersebut juga turut mendapat kritikan di media sosial.

DISEBABKAN barisan yang panjang, ada orang yang mempunyai urusan lebih penting sanggup mengupah individu lain beratur bagi pihak mereka untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati.

 

Bagaimanapun, bagi pelabur hartanah, Greg Stuppler yang turut berbaris untuk menjalani ujian Covid-19 melihat ia bukanlah satu masalah yang perlu dipertikaikan.

“Inilah Amerika. Jika seseorang itu bekerja dan mencari nafkah untuk keluarga dengan menawarkan perkhidmatan tersebut kepada orang lain, ia bukanlah sesuatu yang salah,” katanya.

Sementara itu, pada November tahun lalu, satu video dimuat naik tentang cara menggunakan satu lagi aplikasi yang menawarkan perkhidmatan menyewa barisan iaitu TaskRabbit untuk mengambil ujian Covid-19.

Segelintir orang kaya di New York yang tidak berminat untuk menunggu lama bagi melakukan ujian tersebut tidak kisah untuk membayar orang lain beratur bagi pihaknya.

Permintaan untuk ujian tersebut telah meningkat ketika musim cuti semakin hampir yang mana orang ramai bersiap untuk bertemu keluarga dan mengabaikan nasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit untuk kekal duduk di rumah.

Ini menyebabkan orang ramai terpaksa menanti sehingga berjam-jam lamanya di beberapa pusat ujian.

Mereka yang terjejas dari segi pekerjaan mengambil peluang dengan menawarkan perkhidmatan beratur kepada orang ramai.

Agensi berita New York Post melaporkan, ada pengguna yang mengiklankan perkhidmatan beratur tersebut di TaskRabbit dan mendapat bayaran sehingga ratusan dolar.

Apabila sampai di barisan hadapan, mereka akan menelefon pelanggan yang membayar untuk menggantikannya.

Seorang pengguna TaskRabbit, Lucy berkata, dia mengenakan bayaran sebanyak AS$80 (RM320) sejam.

Dia menunggu selama tiga jam sebelum menelefon pelanggannya dan akhirnya mendapat bayaran sebanyak AS$240 (RM969).

“Sewaktu beratur saya mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penulis yang tidak bekerja kerana pandemik Covid-19 berkata, setiap hari dia mendapat permintaan untuk menunggu dalam barisan untuk orang lain.“Setiap hari saya mendapat pertanyaan daripada pelanggan dan ada satu ketika saya melakukannya sehingga lima kali sehari.“Banyak orang ingin mengunjungi keluarga atau melakukan perjalanan pada hari cuti kesyukuran.

“Mereka memerlukan beberapa jenis dokumentasi yang menyatakan bahawa mereka bebas daripada Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, TaskRabbit dalam satu kenyataan menjelaskan, keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna di platform miliknya adalah keutamaan terbesar mereka.

“Kami sangat berharap agar sistem penjagaan kesihatan ini dapat memenuhi keperluan yang berkaitan pandemik Covid-19.

“Kami akan terus mencari cara yang dapat digunakan oleh platform kami untuk menangani tindak balas pandemik ini secara keseluruhan,” jelas kenyataan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI