fbpx

Program SMART SBB tingkatkan pendapatan pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronald melihat tanaman padi pada majlis menandatangani MoU Projek Smart SBB di Wisma Tani, Putrajaya hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dijangka meningkatkan purata pendapatan pesawah daripada RM5,000 setahun kepada RM7,900 setahun.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pendapatan bersih per hektar pula dijangka meningkat daripada RM5,400 sehingga ke RM15,600 setahun jika purata produktiviti per hektar meningkat daripada 3.5 tan metrik kepada sasaran 7 tan metrik.

Beliau berkata, program itu turut menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 tan metrik pada tahun 2019 kepada 7 tan metrik dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

“Meskipun ada sebahagian kecil kawasan dalam jelapang yang mencatatkan pengeluaran melebihi 10 tan metrik per hektar pada masa ini, namun sebahagian besar kawasan jelapang dan keseluruhan kawasan luar jelapang hanya mencatatkan purata hasil per hektar masing-masing sebanyak 4.4 tan metrik dan 2.5 tan metrik pada tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Projek SMART SBB antara kerajaan dengan 11 syarikat peneraju bagi pelaksanaan program SMART SBB di kementeriannya hari ini.

Sementara itu, Ronald berkata, syarikat tersebut akan membangunkan kawasan penanaman padi dengan sasaran seluas 150,000 hektar semusim bagi fasa pertama secara berperingkat menerusi pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan dan sebagainya.

Menurutnya,  SMART SBB merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu pengurusan sekali gus dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai.

“Program ini penting berikutan terdapat keperluan bagi menangani isu ancaman terhadap kemampanan sara diri negara terhadap beras,” katanya.

Katanya, program itu akan membantu negara untuk mencapai sasaran Kadar Tahap Siri Diri (SSL) beras yang telah ditetapkan dalam tempoh RMKe-12 iaitu sebanyak 75 peratus. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI