fbpx
Gambar hiasan.

Padah muat turun aplikasi palsu Bank Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Seorang pekerja kilang di Temerloh kerugian RM5,650 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang memintanya memuat turun aplikasi Bank Negara ketika kejadian semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 22 tahun itu dihubungi suspek pada Ahad lalu.

“Suspek menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mengatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai perniagaan sebanyak RM38,600.

“Mangsa menafikan tidak mempunyai sebarang syarikat perniagaan, namun suspek mengatakan terdapat individu lain menggunakan kad pengenalan mangsa ketika mendaftar syarikat,” katanya.

Ujar Mohd. Wazir lagi, talian seterusnya disambungkan kepada individu menyamar polis dan meminta mangsa memuat turun aplikasi Bank Negara yang palsu.

“Mangsa kemudian telah muat turun aplikasi tersebut dan mengisi maklumat perbankan termasuk kata laluan dan nombor PIN.

“Selepas itu, mangsa menerima mesej daripada pihak bank yang memaklumkan mengenai transaksi pengeluaran wang sebanyak RM3,600.20 dan RM2,050,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Mentakab sejurus menyedari tertipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE