fbpx

Waspada jika bergejala pening kepala akibat strok haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KANGAR – Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil ringan sekiranya mengalami gejala sakit kepala berikutan cuaca panas melanda utara Semenanjung ketika ini sehingga terdedah kepada serangan strok haba yang boleh membawa maut.

Pakar Perubatan Dalaman KPJ Perlis, Dr. Nurazam Omar berkata, kadar kematian akibat serangan strok haba yang gagal mendapat rawatan awal adalah tinggi iaitu 70 peratus.

Katanya, pengesanan awal termasuk gejala serangan strok haba adalah penting bagi mendapatkan rawatan awal daripada doktor seterusnya mencegah kematian serta mendapat kadar pemulihan 100 peratus.

“Saya ada menerima beberapa kes pesakit yang mengadu sakit kepala dan apabila membuat ujian darah, mereka tidak menunjukkan masalah lain. Justeru, gejala itu dilihat lebih kepada masalah berkaitan cuaca panas ketika ini. Antara gejala awal strok haba adalah seperti rasa dahaga, letih melampau, tidak fokus dan sakit kepala.

“Keadaan menjadi lebih teruk apabila suhu badan meningkat melebihi 40 darjah Celcius sehingga menjejaskan fungsi organ dalam badan termasuk otak, seterusnya boleh mengakibatkan pesakit pitam atau diserang sawan dan koma,” jelasnya ketika ditemui di KPJ Perlis di sini semalam.

DR. NURAZAM menunjukkan gejala strok haba yang boleh mengakibatkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan awal ketika ditemui di KPJ Perlis, Kangar semalam.

Kata beliau, antara langkah awal yang boleh dibuat bagi mereka yang mengalami gejala awal strok haba sebelum mendapatkan rawatan doktor ialah longgarkan pakaian mereka dan basahkan seluruh badan pesakit dengan tuala basah.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar antara pukul 11 pagi hingga 3 petang, minum air dengan mencukupi, kurangkan pengambilan minuman berkafein dan alkohol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI