fbpx

Kaunter Baitulmal kini dibuka di seluruh Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (kanan) menyampaikan cek Sumbangan Pengurusan Tahun Bagi 2021 kepada Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( Kias), Profesor Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membuka lima lagi Kaunter Baitulmal di masjid bandar di lima daerah yang belum memiliki kemudahan itu.

Kaunter Baitulmal Maik itu dibuka di masjid bandar di Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Jeli dan Kuala Krai sejak Mei lalu.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, dengan penambahan itu, setiap daerah di seluruh negeri kini mempunyai Kaunter Baitulmal di masjid bandar masing-masing.

Katanya, fungsi utama Kaunter Baitulmal itu diwujudkan di setiap masjid bandar adalah bagi membantu memudahkan orang ramai membayar zakat.

“Dengan penambahan kaunter itu, ia mampu memudahkan orang ramai terutamanya mereka yang tinggal di luar Kota Bharu untuk membayar zakat di masjid bandar di daerah masing-masing.

“Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu datang ke Ibu Pejabat Maik di Lundang di sini untuk berbuat demikian. Kemudahan ini juga disediakan susulan daripada penularan wabak Covid -19 yang melanda negara sejak tahun lalu,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan Maik Bagi Tahun 2020 di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab. Rahman.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI