JELEBU: Minat yang mendalam terhadap catur membuahkan hasil buat pemain catur cilik, Iman Izzuddin Roslan, 9, apabila dia berjaya memenangi pingat emas dalam pertandingan 8th Mobile Chess X Community Hero Championship 2021, kategori lelaki bawah 10 tahun baru-baru ini.
Dalam kejohanan yang diadakan secara dalam talian di baru-baru ini,Iman Izzudin yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tipus dekat sini mengalahkan 175 peserta daripada Asia Tenggara termasuk Indonesia, Filipina selain India.
Menurutnya, seramai lima murid di sekolahnya juga turut yang menyertai kejohanan tersebut yang diadakan bermula 6 Februari lalu.
“Saya mula belajar bermain catur sejak berusia enam tahun. Kakak saya yang banyak mengajar bermain sehingga saya sudah boleh mewakili Malaysia baru-baru ini.
“Saya meluangkan masa bermula pukul 2 hingga 6 petang untuk bermain catur di rumah setiap hari sambil dibantu jurulatih di sekolah untuk mengajar dan memberi latihan kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya Simpang Pelangai dekat sini semalam.
Iman Izzuddin memberitahu dia juga memenangi pelbagai kejuaraan termasuk dalam pertandingan Putrajaya International Chess Festival 2019, Kejohanan Catur 53rd KCM Chess Academy (KCMCA) Chess Fever National Open 2020.
“Saya juga turut memenangi tempat pertama terbaik kategori bawah 9 tahun (kategori lelaki) 2021 bagi Kejohanan Catur Superstar Online Chess Peringkat Kebangsaan dan johan bagi 10th Unity Chess Match 2021 (Kategori Lelaki Bawah 10 tahun) baru-baru ini,” katanya,
Sementara itu, ibunya, Ruzaini Mohd Zainon, 48, berkata, dia amat menyokong minat anaknya terhadap sukan catur dan sentiasa menghantar anaknya ke pelbagai kejohanan bagi memastikan dia berjaya dalam sukan tersebut satu hari nanti.
“Saya memang menggalakkan anak saya menyertai sukan catur ini kerana saya melihat dia lebih berkeyakinan dan lebih berani. Saya juga dapat melihat dia menguasai bahasa Inggeris dengan baik,” katanya.
“Dia ada memberitahu cita-citanya menjadi guru dan jurulatih catur satu hari nanti. Saya akan menyokong dan berharap dia dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan berjaya dalam permainan catur,” katanya.
Guru Besar SK Durian Tipus, Masrawati Md. Ali , 54, pula berkata, sejak 2018 pihaknya telah mengadakan program pembangunan catur dan ia mula menarik minat murid di sekolah berkenaan.
“Sejak 2018, kami telah mengadakan Program Pembangunan Catur di sekolah bagi melahirkan lebih ramai pemain catur di sekolah ini, setakat ini seramai 15 orang murid terlibat dan di ajar oleh jurulatih daripada luar,” katanya.-K!ONLINE