fbpx

Perlu pakej lengkap untuk naik pangkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

ISU membabitkan salah laku ahli akademik yang dikatakan gila pangkat timbul semula baru-baru ini.

Penggunaan jurnal pemangsa bagi mengejar pangkat atau dijadikan jalan pintas bagi bergelar profesor masih lagi berlaku.

Ia bukanlah isu baharu, namun membuktikan bahawa pe­nyakit gila pangkat ini bagaikan tiada ubatnya lagi.

Berkali-kali isu ini didedahkan menerusi media, malah dalam kalangan ahli akademik sendiri sudah membincangkannya.

Bagaimanapun, itulah lumrah dalam pekerjaan. Pangkat yang tinggi hampir pasti menjanjikan kesenangan hidup, malah kuasa yang didambakan.

Laporan media terhadap isu tersebut mendapat perhatian pihak universiti yang rata-ratanya berkata, jurnal akademik bukanlah satu-satunya faktor diambil kira sebelum ditawarkan kenaikan pangkat.

Bahkan, keperibadian dan pencapaian mereka sepanjang berkhidmat turut memainkan peranan penting untuk dinaikkan pangkat.

Pengerusi Sekolah Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah berkata, kenaikan pangkat bukan sahaja memerlukan kepakaran penyelidikan, pengiktirafan, khidmat bakti dan kecemerlangan mendidik, malah perlu diiringi dengan keberkatan.

Selain itu, ujarnya, kriteria lain adalah seperti mengetuai atau menyertai projek perundi­ngan yang dilantik oleh industri atau agensi kerajaan, mendapat anugerah dalam penyelidikan atau perkhidmatan.

“Mungkin kayu ukur setiap universiti tak sama, tapi hakikatnya untuk naik pangkat dalam dunia akademik tidak ada jalan pintas dan sudah tentu penerbitan dalam jurnal pemangsa bukan kriterianya,” katanya.

Tambah beliau, kenaikan pangkat juga adalah berkat kejujuran dan keikhlasan dalam me­nunaikan amanah.

“Yang tidak puas hati akan kata sistem kenaikan pangkat terlalu berorientasikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), fokus kepada kuantiti, lupa kualiti dan sebagainya.

“Di situlah terjadinya mereka yang terlalu mengejar KPI sehingga mengambil jalan pintas,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Naib-Naib Canselor Universiti Swasta (VCCPU), Profesor Datuk Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha pula berkata, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) universiti swasta telah menggubal polisi serta mekanisme bersesuaian untuk menyemak penerbitan yang dibuat para penyelidik dalam jurnal-jurnal berkaitan.

Katanya, RMC mempunyai senarai jurnal pemangsa yang telah disenaraihitamkan dan dikemas kini secara berkala.

“Bagi memastikan kesahihan sesuatu jurnal pemangsa, semakan dilakukan melalui Beall’s List yang merupakan senarai penerbit akses terbuka yang berkait rapat dengan jurnal pemangsa.

“Permohonan untuk menerbitkan makalah dalam jurnal pemangsa tidak akan diluluskan dan sebaliknya penyelidik dinasihatkan untuk memilih jurnal-jurnal berwibawa,” katanya.

Beliau berkata, penerbitan dalam jurnal pemangsa mudah dikenal pasti semasa proses sari­ngan dan akan ditolak dari pe­ringkat awal apabila dikesan.

“Calon yang berkenaan tidak akan terpilih untuk disenarai pendek bagi kenaikan pangkat.

“Permohonan kenaikan pangkat khususnya ke jawatan profesor akan melalui proses yang ketat dan menyeluruh merangkumi saringan dalaman melalui jawatankuasa khas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI