fbpx

Imej garang Suzuki Hayabusa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI sebalik rupa garang Hayabusa model terbaharu atau generasi ketiga ini masih mengekalkan ciri sinonim generasi-generasi terdahulu.

Februari atau bulan ini pastinya menjadi bulan yang dinanti-nantikan para peminat global motosikal berkuasa tinggi Suzuki Hayabusa.

Manakan tidak, ia menjadi bulan pertama bagi penjualan generasi ketiga motosikal keluaran Suzuki Motor tersebut.

Menurut syarikat permotoran itu, Suzuki Hayabusa 2021 akan mula dijual bulan ini bagi pasaran Eropah diikuti Amerika Utara, Jepun dan lain-lain.

Inkarnasi terbaharu Hayabusa menggunakan konsep Ultimate Sport dengan penekanan diberikan pada aspek prestasi aerodinamik dan pengemudiannya.

Spesifikasi Hayabusa terbaharu boleh dikatakan menggabungkan ciri terbaik pada model generasi pertama dan kedua dengan teknologi baharu didatangkan pada model 2021.

REKA bentuk hadapannya yang unik dengan tertera tulisan Suzuki.

Model generasi pertama Hayabusa yang mula dipasarkan pada tahun 1999 menggunakan enjin bersesaran 1,299cc, dengan kuasa maksimum dihasilkannya adalah 173hp.

Begitupun, model generasi kedua yang ditambah baik pada tahun 2008 menyaksikan enjin bersesaran 1,340cc digunakan, lantas menyumbangkan kepada kuasa lebih tinggi mampu dihasilkan iaitu 195hp.

Jika peminat menjangkakan kuasa lebih tinggi dihasilkan Hayabusa 2021, mereka pastinya berasa kecewa kerana biarpun enjin serupa digunakan seperti model generasi kedua, kuasa dihasilkan hanyalah 188hp pada tork maksimum 9,700rpm.

Persamaan dengan model terdahulu juga dapat dilihat menerusi casis motosikal tersebut yang mana rekaan casis Hayabusa generasi pertama digunakan pada model terbaharu Hayabusa.

Biarpun terdapat pengurangan dari segi kuasa dan tork pada model terbaharu Hayabusa, Suzuki mendakwa ia lebih laju berbanding generasi terdahulu.

Model 2021 dikatakan mampu mencapai kelajuan kira-kira 100 kilometer sejam dalam tempoh 3.2 saat dari titik pegun, lebih pantas 0.2 dan 0.1 saat masing-masing berbanding Hayabusa generasi kedua dan pertama.

Suzuki Hayabusa 2021 yang memiliki berat 264 kilogram itu kini dilengkapi dengan sistem ekzos baharu bagi memastikan mematuhi piawaian Euro5.

Motosikal itu juga dilengkapi dengan versi terkini Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) yang selari dengan keperluan semasa.

MOTOSIKAL ini dilengkapi versi terkini Suzuki Drive Mode Selector (SDMS).

SDMS versi terkini memberikan pengguna Hayabusa tiga pilihan tetapan iaitu mod pengubahan kuasa, kawalan cengkaman dan kawalan enjin serta tetapan quickshifter.

Sebagaimana jentera moden masa kini, SDMS itu akan dipaparkan pada skrin TFT. Menarik untuk dinyatakan, skrin tersebut tidaklah secanggih yang diguna pakai motosikal jenama lain, namun cukup untuk memainkan fungsinya iaitu memaparkan maklumat diperlukan penunggang Hayabusa.

Suzuki Hayabusa 2021 turut dilengkapi dengan Unit Pengukuran Inersia (IMU) enam paksi dan Brek Antikunci (ABS) yang didatangkan dengan pelbagai pilihan tetapan.

Juga didatangkan pada jentera itu ialah gabungan sistem kawalan jelajah dan brek, kawalan pegun (HHC), sistem bantuan RPM rendah dan butang push-start.

Walaupun casisnya kekal sama, subkerangka tempat duduknya kini 700 gram lebih ringan dan menggunakan suspensi terkini berdasarkan KYB43 milimeter (mm) model terdahulu.

Kaliper Brembo Stylema pula digandingkan dengan brek cakera hadapan bersaiz 320mm yang 10mm lebih besar berbanding model terdahulu Hayabusa.

Kaliper Nissin pula dipasangkan pada bahagian tayar belakang.

Bahkan, brek cakera itu turut menampilkan corak rekaan baharu bagi meningkatkan aspek penyejukan.

TAYAR motosikal ini didatangkan dengan rim aloi tujuh spoke.

Suzuki Hayabusa 2021 juga didatangkan dengan rim aloi tujuh spoke yang dibaluti tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22.

Tubuh jentera berkenaan juga menerima sentuhan khas jurutera Suzuki. Walaupun begitu, rupa garang Hayabusa baharu itu tidak bermakna ia hilang ciri yang sinonim dengan motosikal tersebut. Terowong anginnya masih menjadi kekuatan Hayabusa sebagaimana generasi terdahulu. Lampu motosikal itu juga dibuat daripada diod nyalaan siang (LED) sepenuhnya.

Walaupun motosikal itu mula dijual bermula bulan ini, pengedar di seluruh dunia dijangka menerima Hayabusa pada bulan hadapan.

Harga Hayabusa generasi ketiga disahkan bernilai £16,499 (RM92,384), sekali gus memberi saingan bagi jentera seperti Kawasaki H2 SX yang berharga £15,899 (RM89,022).

Jentera itu didatangkan dengan tiga gabungan warna iaitu Glass Sparkle Black (hitam) dan Candy Burnt Gold (emas); Metallic Matte Sword Silver (perak) dan Candy Daring Red (merah) dan Pearl Brilliant White (putih) dan Metallic Matte Stellar Blue (biru).

Bagi pasaran tempatan pula, masih tiada pengesahan berhubung penjualan jentera tersebut oleh pihak Suzuki.

PARA penunggang kelihatan bergaya dengan motosikal Suzuki Hayabusa ini yang mempunyai rekaan menarik dan penampilan yang meyakinkan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI