fbpx

TM bantu pelajar hadapi PdPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Telekom Malaysia Bhd. (TM) menyediakan sambungan internet percuma di 60 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan lebih 1,000 pusat internet komuniti seluruh negara bagi mempersiapkan rakyat terutamanya golongan B40 menghadapi norma baharu disebabkan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, akses WiFi percuma disediakan di 60 PPR terpilih bermula Ja­nuari hingga 30 April 2021, terutamanya bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Inisiatif terbaharu ini dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membantu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat para pelajar di PPR terlibat.

“Kami turut menyediakan sambungan jalur lebar percuma buat pelajar luar bandar untuk pembelajaran secara online menerusi 563 WiFi Komuniti (WK), 437 Pusat Internet Komuniti (PIK) dan 37 Pusat Internet Desa (PID) dengan kerjasama SKMM,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Imri menjelaskan, kesalinghubungan adalah amat penting pada waktu ini kerana lebih ramai rakyat Malaysia berada di rumah manakala golongan pelajar yang perlu belajar secara online.

“Kami berharap dengan ada­nya sambungan percuma di 60 PPR dan lebih daripada 1,000 pusat internet komuniti, penduduk setempat terutamanya pelajar boleh menghadiri kelas dan menggunakan sepenuhnya perisian pembelajaran secara online agar tidak ketinggalan.

“Mereka boleh menggunakan data tanpa had untuk aplikasi pembelajaran serta sesi kelas secara online dan paling pen­ting, kekal selamat dan produktif di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” jelas beliau.

Selain itu, TM turut bekerjasama dengan Yayasan Hasanah untuk menyokong inisiatif Tabung Cerdik dengan menyumbang sambungan internet dan peranti dengan anggaran nilai melebihi RM20 juta.

Tabung Cerdik menyasarkan penyediaan komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 buah sekolah sebagai projek permulaan untuk memudahkan PdPR.