fbpx
Gambar hiasan

Peluang orang ramai berniaga dari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

KEPERLUAN kawalan pergerakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 menjadikan trend bekerja dari rumah sema­kin popular dewasa ini.

Dalam suasana kemelesetan ekonomi sekarang, istilah bekerja dari rumah bukan setakat untuk mereka yang makan gaji, tetapi turut digunakan oleh mereka yang kehilangan kerja untuk memulakan perniagaan.

Kemudahan teknologi terkini termasuk perkhidmatan kurier, platform jualan online, media sosial dan aplikasi menghantar mesej yang tersedia percuma membolehkan semua orang menjalankan bisnes dari rumah.

Apa yang diperlukan hanyalah usaha, sambungan internet, sedikit penyelidikan dan modal yang cukup minimum.

Penulis mempunyai seorang kenalan dalam industri harta­nah yang dahulunya menyewa pejabat sendiri di Wisma Yakin, Masjid India, namun cabaran ekonomi menyebabkan dia memindahkan ‘pejabatnya’ ke tepi jalan berdekatan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras untuk menjual nasi beriani.

Bagaimanapun, baru-baru ini Ali Omar, 57, membuat keputusan untuk bekerja dari rumah dan memindahkan tapak perniagaannya ke dapur rumah sendiri.

Menurutnya, selepas sebulan menjualkan Briyani Manja hasil air tangan sendiri dari rumah, jualan yang dicapai setiap hari menyamai hasil yang diperoleh ketika berniaga di jalanan.

“Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain kes jangkitan Covid-19 yang kekal tinggi setiap hari, saya rasa persekitaran berniaga di tepi jalan sangat kondusif.

“Berniaga dari rumah ini pun ada hikmahnya, kami sekeluarga bersama-sama memasak dan menyiapkan produk untuk pe­langgan.

“Kos perniagaan juga lebih rendah, malah kerja dari rumah bagi kurang tekanan dan kini saya ada lebih masa untuk memikirkan serta mengkaji strategi perniagaan baharu,” katanya.

Ali kini memasarkan produk­nya di pelbagai platform jualan seperti Food Panda, Sama-Sama Lokal, OdaMakan, Safer dan Warong selain turut menerima pesanan di media sosial.

Ali berkata, kekurangan utama menjual makanan menerusi platform digital ini ialah kesukaran untuk membina hubungan yang bermakna dengan pelanggannya.

“Agak sukar untuk kita ‘ber­kenalan’ dengan pelanggan yang membuat pesanan berulang dan setiap malam saya tertunggu-tunggu sekiranya ada yang memberi maklum balas,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Street UK Ltd., Simon K. Suresh yang menyediakan platform digital untuk memasarkan produk halal dari Malaysia ke United Kingdom berkata, berniaga dari rumah merupakan satu permulaan yang baik bagi sebarang jenis perusahaan.

Namun, katanya, untuk mengembangkan perniagaan sehingga dapat menjual produk ke kota London, terdapat tiga langkah utama yang disarankan.

“Pertama, kenal pasti produk yang ingin ditawarkan. Perlu ada cerita di sebaliknya, misalnya mungkin nenek kita yang ajar dan sebagainya.

“Kedua, jumpa agensi berkaitan yang dapat menjadikan produk kita lebih berdaya saing, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dapat banyak membantu.

“Ketiga, kita perlu faham soal promosi dan pelbagai sistem online yang dapat membantu. Walau sebagus mana produk yang kita jual, orang tidak akan membeli jika tidak tahu mengenai­nya,” katanya.

BERITA BERKAITAN