fbpx

Kilang proses ayam beku didenda lagi RM35,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sisa buangan yang dilepaskan sebuah kilang memproses ayam sejuk beku di Tanjung Karang, 27 Februari 2019.

KLANG – Kedegilan sebuah kilang memproses ayam sejuk beku yang terus membuang sisa buangan melebihi had piawai mengundang padah apabila didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Razali Ariffin menjatuhi hukuman itu selepas syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili pengurusnya berusia 56 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kilang berlesen yang beroperasi sejak 2003 itu pernah didenda sebanyak RM15,000 pada tahun 2012 atas kesalahan sama.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati melepaskan efluen perindustrian iaitu kandungan pepejal terampai yang mempunyai kepekatan sebanyak 190 miligram perliter (mg/l) melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 100 mg/l.

Ini seterusnya telah melebihi had piawai bagi satu parameter di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dengan kesalahan dilakukan di Tanjung Karang, dekat sini pada pukul 10.25 pagi, 27 Februari 2019.

Sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Selangor, Nor Faizura Mohd. Ali dan Mohd. Ridzuan Zainal meminta hukuman setimpal berdasarkan pertimbangan ke atas kepentingan awam.

Bagaimanapun, Peguam Datuk Jasbeer Singh Kaura dan Nur Afifah Mat Swadi mewakili OKS memohon hukuman ringan berbentuk denda sahaja dikenakan ke anak guam mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI