fbpx
ASHIRA AZIZ

Gadis 16 tahun larang Ashira, Bad Indigo bernikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Penyanyi Ashira Aziz membuat pendedahan sering diganggu seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang mendesaknya agar memutuskan hubungan dengan kekasih, Bad Indigo.

Menerusi perkongsian tangkap layar dalam InstaStorynya, pelantun lagu Di Ombak Resah itu memuat naik mesej daripada seorang remaja mendakwa Ashira tidak layak sama sekali untuk berkahwin dengan Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 46.

Ibu tunggal satu anak itu ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia telah beberapa kali menyekat akaun remaja terbabit, namun terus dibanjiri mesej yang dihantar menggunakan akaun palsu.

“Sejak berita hubungan dengan Bad disiarkan media, saya mendapat banyak mesej daripada remaja itu dan telah beberapa kali menyekat akaunnya.

“Tetapi dia ada banyak akaun palsu. Kalau dia mesej saya dan tidak dilayan, dia serang dan maki pula akaun peminat saya. Malah dia turut membuka sebuah akaun @hatersashiraaziz kerana terlalu bencikan saya,” kata penyanyi berusia 36 tahun itu.

TANGKAP layar mesej yang diterima Ashira menerusi Instagramnya.

Bagaimanapun, Ashira memberitahu, individu tersebut akhirnya telah memohon maaf kepadanya hari ini dan mengakui kesilapannya atas perbuatan selama ini.

“Assalamualaikum. Saya segan nak cakap. Saya minta maaf dengan perangai saya sebelum ini sebab benci Ashira. Cakap macam-macam, kecam dan kacau peminat Ashira.

“Saya tahu saya dah melampau sangat. Tapi kalau Ashira tak maafkan, tidak mengapa saya faham. Saya baru sedar sekarang. Saya malu dengan peminat Ashira,” ujar remaja tersebut menerusi tangkap layar yang dikongsikan Ashira.

Berhubung kejadian tersebut, Ashira berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan individu terbabit dan sudah lama memaafkan atas apa yang telah berlaku.

“Agaknya inilah namanya dugaan orang yang hendak berkahwin

“Saya tidak buat laporan polis kerana memikirkan usianya yang masih muda iaitu 16 tahun berdasarkan maklumat dalam profil Instagramnya. Kalau dia buat lagi, agaknya memang dia ada masalah,” katanya.

Pada Januari lalu, Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz mendedahkan bahawa dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Bad dan bercadang untuk bernikah pada Mac nanti.

Mereka berkenalan dan jatuh cinta ketika sama-sama menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) pada tahun lalu. K! ONLINE