PUTRAJAYA – Borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang muktamad akan diedarkan kepada bakal penerima vaksin dalam tempoh terdekat, bermula dengan penerima vaksin bagi fasa pertama.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehubungan itu, masyarakat diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai.
“Pemberian suntikan vaksin Covid-19 adalah untuk memberikan perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 serta mengurangkan kesan seseorang mendapat penyakit tersebut.
“Memandangkan pemberian suntikan vaksin adalah secara sukarela, borang persetujuan suntikan vaksin adalah dokumen yang digunakan untuk diberi kepada penerima bagi mereka menyatakan persetujuan penerimaan vaksin dengan rela hati,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua vaksin yang akan memasuki Malaysia akan dinilai terlebih dahulu daripada segi kualiti, keberkesanan dan keselamatannya oleh pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Selain itu, melalui pelaporan yang diperoleh daripada negara-negara yang telah melaksanakan pemberian vaksin Covid-19, vaksin ini adalah selamat digunakan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, berhubung borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang tular di media sosial, ia bukan merupakan borang persetujuan yang muktamad yang akan diguna pakai dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19.
Semalam Kosmo! Online melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan tidak pernah mengeluarkan borang persetujuan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seperti tular di media sosial.
KKM menerusi hantaran di Facebook berkata, maklumat palsu itu kononnya mengaitkan KKM mengeluarkan Borang Persetujuan Suntikan Covid-19. -K!ONLINE