fbpx

PKP semarak seni warisan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

Sedar atau tidak sedar, rupanya sudah menghampiri dua bulan kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Arahan itu adalah satu tindakan yang wajar dipatuhi dalam usaha untuk kita memutuskan rantaian pandemik Covid-19 dalam masyarakat.

Sepanjang menjalani bebe­rapa fasa PKP sejak tahun lalu, tempoh pengasingan itu agak janggal untuk dipatuhi pada pe­ringkat permulaan, namun lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan.

Tanpa kita sedari, ada dalam kalangan kita telah berkongsi dan meluahkan bakat masing-masing.

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Hafizal Ismail berkata, PKP telah berjaya mencungkil kepelbagaian bakat tersembunyi.

Katanya, bakat yang selama ini terpendam telah dizahirkan melalui pelbagai bentuk kreati­viti di platform media sosial.

“Saya sedar, ramai yang be­rasa bosan kerana terpaksa menghabiskan masa dengan berkurung di rumah. Disebabkan itu, ramai yang mula menunjukkan pelbagai bakat terpendam.

“Masyarakat dilihat mula menggunakan platform media sosial untuk berkongsi aktiviti harian seperti menari, memasak, bermain alat muzik,” katanya ketika ditemu bual Kosmo!.

Menurut Mohd. Hafizal, perkongsian aktiviti harian itu secara tidak langsung telah mempromosikan warisan budaya yang semakin pudar dalam kalangan masyarakat masa kini.

Katanya, perkara ini sekali gus berjaya menarik minat orang lain untuk turut sama menerokai identiti dan warisan bangsa yang telah lama ditinggalkan.

“Ia jelas dapat lihat sewaktu PKP apabila ramai yang mula terlibat dalam aktiviti memasak masakan tradisional, bermain alat muzik tradisional, mempelajari loghat negeri atau permainan tradisional.

“Jadi, warisan yang kian pudar dalam kalangan generasi baharu mula diterokai dan penambahbaikan dapat dilakukan bagi memastikan ia relevan dengan masyarakat kini,” jelasnya.

Warisan kebudayaan di negara­ ini adalah unik kerana ia me­ngandungi pelbagai latar belakang yang dipengaruhi oleh warisan tidak nyata (intangible heritage).

Penolong Pengarah, Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Nik Mohd. Fadly Nik Mat berkata, teknologi komunikasi masa kini tidak lagi membataskan masyarakat untuk mempelajari sesuatu warisan.

Katanya, pihak JKKN turut bekerjasama dengan penggiat seni, budaya dan warisan untuk menghasilkan video-video pendek bagi memberi penera­ngan dan pendedahan kepada masyarakat.

“Dahulu, orang ramai susah hendak belajar seni warisan ke­rana perlu pergi mencari penggiat sesuatu kebudayaan itu.

“Disebabkan pelaksanaan PKP, kami di JKKN mencari alternatif dengan membuat video-video pendek mengenai seni seperti wayang kulit, tarian tradisional dan caklempong,” katanya.

Ujarnya, semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang tidak menyalahkan kita kerana gagal mempertahankan warisan.

Jelasnya, ia sesuatu yang me­ru­gikan sekiranya warisan budaya­ hanya dipertontonkan di buku sejarah atau rakaman video dan gambar pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI