PETALING JAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 lalu, sedikit sebanyak telah memberikan impak dari segi ekonomi dan pendapatan golongan tertentu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob dalam satu kenyataan berkata, sesetengah daripada mereka terpaksa menggadaikan barangan berharga di pajak gadai demi kelangsungan hidup.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandangan, situasi ini boleh mewujudkan aktiviti pajak gadai tidak berlesen atau penipuan pajak gadai yang mengambil kesempatan ke atas mangsa-mangsa yang terdesak untuk mendapatkan wang.
“Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati sekirannya ingin menggadaikan barangan berharga, pastikan berurusan dengan syarikat pajak gadai yang dilesenkan oleh kerajaan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, jangan sesekali berurusan melalui medium atas talian kerana aktiviti pajak gadai hendaklah dijalankan secara fizikal di premis perniagaan yang berdaftar.
“Setakat ini, tiada laporan polis berkaitan kes sebegini diterima, namun kebarangkalian untuk berlaku adalah tidak mustahil.
“Justeru, masyarakat perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil tahu prosedur dan undang-undang yang berkaitan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.
Jelas beliau, usaha dan peranan dari pihak polis serta masyarakat amat penting bagi memastikan negara ini terhindar daripada perlakuan jenayah komersil.
“Masyarakat juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat.
“Mengutamakan keperluan hidup secara bermewah-mewah bukan lagi suatu pilihan kerana yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan hidup itu sendiri,” tambahnya.-K!ONLNE