fbpx
Noorzainy (duduk) menyerahkan sumbangan kepada Sharom ketika menziarahi keluarganya di Pangsapuri Ampang Jajar, Permatang Pauh hari ini.

Nenek cekal jaga empat cucu hiperaktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Empat beradik yang menghidap penyakit hiperaktif atau gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) terpaksa menumpang kasih nenek untuk meneruskan kehidupan selepas ibu mereka ditahan polis sejak Mac lalu.

Nenek yang hanya dikenali sebagai Sharom, 53, berkata, dia bertanggungjawab menjaga cucu lelaki yang berusia di antara tiga hingga 11 tahun selepas anak perempuannya berusia 26 tahun ditahan di Penjara Jawi, Nibong Tebal di sini sementara menunggu perbicaraan mahkamah berkaitan kes dadah.

Katanya, walaupun sukar kerana dia juga menghidap diabetes, namun wanita itu tidak mempunyai pilihan lain selain menjaga cucunya sendiri.

“Memang susah untuk mengawal kanak-kanak istimewa ini kerana mereka terlalu aktif sehingga kadangkala menimbulkan keresahan jiran tetangga lain.

“Saya akan sedaya-upaya cuba kawal pergerakan mereka walaupun pernah juga saya menangis kerana tertekan dengan situasi ini,” katanya kepada pemberita ketika menerima lawatan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor di Ampang Jajar, Permatang Pauh di sini hari ini.

Sharom berkata, akibat kesempitan hidup, dia juga berdepan risiko pengusiran dari rumah sewa kerana memiliki tunggakan sebanyak RM3,000.

“Saya ada menerima bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM400 sebulan selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200.

“Saya tidak bekerja kerana keempat-empat mereka memerlukan perhatian khusus dan mujurlah, adik saya banyak membantu melunaskan bil elektrik dan menambah sedikit perbelanjaan dapur,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu meringankan beban Sharom dengn menghulurkan bantuan berupa wang tunai, barang makanan dan lampin pakai buang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI