fbpx
AHMAD dan Noradilah melakukan kayuhan dari Kuala Lumpur ke Mekah melalui 14 negara pada tahun 2016.

Keajaiban kayuhan ke Mekah Ahmad, Noradilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKU berjudul Ustazah Basikal menjadi buah tangan terindah untuk dihadiahkan kepada masyarakat oleh pasangan suami isteri, Ahmad Mohd. Isa dan Noradilah Mohd. Sapie.

Novel travelog tersebut sarat dengan kisah pengembaraan Ahmad, 33, dan Noradilah, 34, yang mencipta sejarah kembara berbasikal luar biasa melibatkan 14 buah negara dari Malaysia ke kota Mekah di Arab Saudi.

Setelah menerbitkan siri pertama pada tahun 2019, baru-baru ini mereka menerbitkan siri kedua Ustazah Basikal yang menyempurnakan lagi kisah pengembaraan dua jiwa itu. Ia memaparkan suka duka, pengajaran dan pengalaman sepanjang kelana epik mereka itu.

Jika siri pertama menceritakan kisah dari Malaysia hingga Pakistan, siri kedua bagaikan pelengkap apabila mengisahkan perjalanan seterusnya dari China hingga ke Mekah.

Kembara ustazah dan bekas arkitek itu yang bermula pada tanggal 8 April 2016 di Malaysia mengambil masa selama setahun tiga bulan. Pelbagai onak duri dilalui sebelum sampai ke destinasi dituju.

AHMAD dan Noradilah menunaikan umrah apabila kayuhan mereka tiba di Mekah.

Mengimbas kejadian lima tahun lalu itu, Ahmad berkata, hasrat mengembara dengan berbasikal merupakan impiannya yang dipendam sejak sekian lama.

“Saya memang suka mengembara bersendirian dan meluahkan hasrat untuk mengayuh basikal mengelilingi dunia tetapi ibu meletakkan syarat agar berkahwin terlebih dahulu barulah dia memberikan kebenaran.

“Setelah hampir setahun mendirikan rumah tangga, saya meneruskan impian mengembara dengan mengayuh basikal dan mengajak isteri untuk ikut bersama,” cerita anak kedua daripada enam beradik itu kepada K2.

Ahmad pada masa itu berhasrat untuk berbasikal ke United Kingdom tetapi isterinya menyarankan agar ke Mekah kerana dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sana.

Sehubungan itu, Ahmad mengikut kehendak isterinya dan mereka memulakan Kembara Memburu Hikmah yang melalui 14 buah negara misalnya Thailand, Myanmar, India, China, Pakistan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Iran dan Arab Saudi.

Pada awalnya, mereka berdua ingin mengembara cuma berdua serta meraikan bulan madu dengan mengeluarkan simpanan sendiri sehingga sanggup menjual kereta.

BUKU siri kedua
Ustazah Basikal (kanan) kini sudah diterbitkan.

Siapa sangka hasrat mereka itu disambut baik oleh sebuah syarikat pembikinan filem untuk mendokumentarikan perjalanan itu.

“Syarikat tersebut membantu membuat kertas cadangan untuk mendapatkan dana bagi kembara ini dan syukur kami berjaya mengumpul sebanyak RM22,000.

“Salah satu penyumbang ialah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang mana kami perlu membawa misi keamanan dan persaudaraan antarabangsa,” ujarnya.

Sebagai persediaan menempuhi perjalanan yang mencabar itu, pasangan suami isteri itu membuat beberapa percubaan kayuhan seperti dari Kuala Perlis ke Terengganu selama seminggu.

Selain itu, mereka juga membuat latihan kayuhan dari Shah Alam ke Pulau Tioman dan dari Selayang sehingga Port Dickson.

Tidak ketinggalan, Ahmad dan Noradilah turut menjalani sesi latihan dengan mendaki beberapa bukit dan gunung seperti Gunung Tahan bagi meningkatkan stamina mereka.

Walaupun kembara dinamakan Kembara Memburu Hikmah itu turut disertai kru syarikat pembikinan filem tersebut tetapi mereka hanya berjumpa di sempadan negara, bandar dan pejabat kedutaan Malaysia yang dikunjungi.

Justeru, sepanjang kembara tersebut hanya mereka berdua yang mengayuh basikal.

“Tiada daya upaya kami melainkan semuanya daripada Allah.

“Kami perlu menempuh perjalanan dengan bentuk muka bumi tidak rata, berbukit, hujan, panas dan salji.

“Pada masa sama membawa basikal dan peralatan seberat 60 hingga 80 kilogram,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor itu.

PASANGAN ini beramah mesra dengan penduduk tempatan apabila singgah di sesebuah negara.

Antara kelengkapan yang dibawa bersama ialah makanan, dapur memasak, periuk, pisau, batu lesung, persalinan harian, pakaian solat, khemah, alat ganti basikal, komputer riba dan peralatan elektrik.

Ahmad berkata, sekiranya tidak mempunyai tempat untuk bermalam, dia dan isteri akan memasang khemah atau menumpang rumah penduduk.

“Setiap hari kami akan mencari masjiddan menjalin silaturahim dengan penduduk tempatan. Syukur sepanjang kembara itu kami berjumpa orang-orang yang sangat baik hati dan mereka amat teruja apabila mengetahui misi kami berbasikal ke Mekah.

“Ada antara mereka yang menghulurkan bantuan berupa wang dan tempat tinggal. Kebaikan hati membuatkan kami berasa sangat terharu,” tuturnya yang berasal dari Gombak, Selangor.

Menariknya, sepanjang perjalanan itu, mereka juga berjumpa dengan pemilik pusat tahfiz al-Quran.

Sementara itu, Noradilah berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya adalah ketika mengayuh basikal di Gunung Deosai National Park, Pakistan.

“Bayangkan gunung ini mempunyai ketinggian yang sama dengan Gunung Kinabalu dan ketika itu pula salji mula turun serta suhu mulai menurun.

“Kami dimaklumkan oleh penduduk bahawa sekiranya menaiki motosikal akan berjaya sampai ke puncak dalam masa satu hari,” katanya yang merupakan guru al-Quran.

Sebaliknya pula mereka mendaki dengan mengayuh basikal dan hanya tiba di puncak Deosai empat hari selepas itu,

Ketika itu Noradilah sangat letih dan lemah. Dia mengalami sindrom mabuk gunung atau ketidakselesaan akut pergunungan (AMS).

Nyawanya berada di hujung tanduk apatah lagi kawasan tersebut tidak dilalui penduduk kerana salji mulai turun.

Dalam keadaan lemah tidak berdaya, keajaiban tiba apabila mereka bertemu dengan doktor yang bertugas di kem tentera berdekatan gunung tersebut.

Doktor itu memberitahu, dia terasa ingin berjalan-jalan di sekitar gunung itu dan tiba-tiba berjumpa mereka berdua.

Noradilah mendapatkan rawatan selama satu malam serta perlu bergerak turun ke bawah kerana kem tentera itu perlu ditutup ekoran salji semakin tebal.

“Saya bertuah kerana berjumpa dengan doktor tersebut sebelum kem itu ditutup tetapi saya masih mengalami AMS dan perlu mendapatkan rawatan di hospital yang jaraknya 10 kilometer (10km) dari situ. Walaupun tidak berdaya, dia terpaksa turun ke bawah untuk mendapatkan bantuan.

Kebetulan dalam perjalanan itu mereka berjumpa tiga orang yang sedang makan dan mempunyai kenderaan.

“Melihat keadaan saya yang sedang lemah, salah seorang menegur dan bertanya khabar lantas menghulurkan bantuan dan memberitahu mereka adalah doktor pakar. Siapa sangka, saya menerima kejutan keajaiban kali kedua apabila doktor itu memaklumkan bahawa mereka tidak tahu bagaimana teringin untuk makan di sana yang jaraknya 10km dari tempat bertugas,” ulasnya.

Selepas itu, Noradilah dihantar ke hospital dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua hari dengan layanan penuh istimewa, malah bil hospital juga percuma. Noradilah memberitahu, mereka yang membantu hanya meminta agar mendoakan negara Pakistan. Setelah itu, mereka meneruskan perjalanan ke China dan menghubungi keluarga selepas seminggu terputus hubungan.

“Saya terkejut mendengar cerita ibu mertua yang membantu seseorang di Malaysia dan berdoa agar dengan kebaikan itu Allah membantu anak serta menantu yang sedang mengembara.

“Ternyata doa ibulah yang menyelamatkan saya ketika dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di puncak gunung tersebut,” terangnya.

Ceritanya, perjalanan dari Iran ke UAE memerlukan mereka membawa seketika basikal menaiki feri.

Kembara mereka berjaya tiba ke Mekah pada bulan Ramadan dan mereka telah menunaikan umrah serta menyambut hari raya di sana. Ia detik paling manis buat mereka berdua apabila berjaya sampai ke Mekah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN