fbpx

edotco penyedia penyelesaian telekomunikasi bagi Menara Merdeka 118

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. telah melantik edotco Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian telekomunikasi bagi menara Merdeka 118.

Ketua Pegawai Pelaburan Hartanah PNB, Rick Ramli berkata, edotco Malaysia akan merancang, menyedia serta menyelenggara penyelesaian rangkaian selular dalam bangunan (IBS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan rangkaian telefon selular terbaik, lancar dan tanpa gangguan di menara ikonik tersebut.

Menurut beliau, syarikat itu perlu memastikan liputan menyeluruh, merangkumi kawasan terlindung seperti di dalam lif, ruang bawah tanah serta parkir kereta untuk mewujudkan pengalaman pengguna yang terbaik.

Perkhidmatan edotco merangkumi infrastruktur telekomunikasi untuk pejabat, hotel dan pusat beli-belah di menara Merdeka 118 yang melibatkan pembangunan seluas tiga juta kaki persegi (278,709 meter persegi).

“Pembinaan menara Merdeka 118 kini telah 70 peratus siap. 

“Kami menantikan fasa seterusnya untuk menara Merdeka 118 dengan pemasangan teknologi infrastruktur telekomunikasi generasi akan datang bagi menyokong keperluan komunikasi masa depan. 

“Pihak kami juga berkeyakinan berdasarkan rekod prestasi, kepakaran teknikal dan penyelesaian inovatif, edotco dapat memenuhi keperluan dinamik penghuni perniagaan dan rekreasi di menara Merdeka 118,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Serantau edotco Group dan Pengarah Urusan edotco Malaysia, Wan Zainal Adileen menjelaskan, Menara Merdeka 118 melambangkan kemajuan yang melangkaui generasi sekarang dan projek ini sejajar dengan komitmen edotco untuk menyumbang kepada pembangunan negara. 

“Kami menyahut cabaran ini dalam menyediakan penyelesaian infrastruktur telekomunikasi yang sesuai, tepat dan selangkah lebih maju berbanding pesaing,” katanya.

Sebaik siap, Menara Merdeka 118 dengan ketinggian 635 meter akan menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan kerja pemasangan IBS akan dilengkapkan mengikut jadual perasmian pembukaan menara mercu tanda berkenaan pada tahun 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI