fbpx

Cabaran Nestle pada pandemik Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sembang Korporat

MASALAH kesihatan dan ekonomi yang dibawa pandemik Covid-19 telah merencatkan pertumbuhan pelbagai sektor dan industri halal turut tidak dapat lari daripada tempiasnya.

Disebabkan pelbagai langkah yang diambil kerajaan termasuk kawalan pergerakan serta penutupan industri, unjuran awal terhadap eksport halal tahunan negara sebanyak RM50 bilion pada tahun lalu kemungkinan tidak dapat dicapai.

Nestle Malaysia Bhd. (Nestle) antara syarikat makanan halal terbesar di negara ini yang telah menubuhkan jawatankuasa halal sendiri sejak awal tahun 80-an lagi turut bertanggungjawab untuk memastikan segala urusan berkaitan pengoperasian halal berjalan lancar bagi memenuhi keperluan pasaran semasa.

Wartawan Kosmo! Ikhwan Ideris berpeluang menemu bual Ketua Bahagian Hal Ehwal Halal Nestle Malaysia Bhd., Othman Md. Yusoff yang terlibat dalam bidang halal lebih daripada 30 tahun bagi mengulas mengenai isu halal dan cabaran semasa yang dihadapi industri.

 

 

Kosmo!: Apakah antara cabaran yang sedang dihadapi pemain industri halal ekoran Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan?
Othman: Paling ketara ialah pelbagai industri tidak boleh merentasi sempadan ke luar negara. Bagi Nestle, garis panduan tersebut menyukarkan kami mendapatkan pembekal baharu kerana kami perlu memastikan produk yang dibekalkan mematuhi syarat halal dan standard yang ditetapkan syarikat.

Ia juga menyulitkan kami untuk memberi bimbingan kepada pihak pembekal bagi memperbaiki produk sedia ada mereka supaya menepati keperluan kami meskipun ia masih boleh dibuat secara online.

Bagaimana pensijilan halal dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan menghadapi tempoh sukar seperti sekarang?
Pensijilan halal membantu dari pelbagai sudut.

Ia membuka peluang kepada pengusaha membekalkan produk mereka untuk syarikat-syarikat yang bersaiz besar, selain membantu eksport produk ke luar negara.

Selain itu, sijil halal menolong operasi perniagaan menjadi lebih baik. Misalnya bagi perniagaan sebuah restoran, pensijilan halal memerlukan premis restoran yang kemas, tersusun dan bersih. Elemen seperti ini akan meyakinkan pengguna serta menarik le­bih ramai pelanggan.

Berdasarkan pengalaman lalu, apa cabaran yang paling sukar untuk dipenuhi pengusaha kecil bagi mendapat sijil halal?

Kos bertambah adalah antara cabaran utama yang dihadapi pengusaha khususnya dari segi tempat. Kalau produksi dihasilkan di dapur di rumah sendiri, maka memang sukarlah mereka mendapat sijil halal ke­rana terdapat syarat dari aspek penga­singan tandas dan juga tempat memasak.

Selain itu, pengusaha juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk pematuhan pensijilan halal kerana ia bukan sekadar mendapatkan sijil tetapi ilmu tentang kawalan dalaman dan bagaimana untuk mengekalkan sijil halal yang diperolehi.

Apa prospek bagi industri halal untuk rantau ini dan di peringkat global?
Populasi Muslim global telah meningkat kepada paras yang sangat tinggi iaitu antara 1.6 bi­lion hingga 1.8 bilion dan penerimaan masyarakat bukan Islam turut meningkatkan nilai pensijilan halal ini.

Halal turut popular dalam kalangan orang bukan Islam ke­rana mereka tahu untuk setiap produk yang memiliki sijil halal, ada pihak ketiga yang telah memeriksa dan menjamin kebersihan serta keselamatannya.

Apa nasihat kepada pihak yang berminat mendapatkan sijil halal?
Sambutlah cabaran untuk mendapatkan sijil halal kerana ia akan mengajar kita pelbagai perkara. Antaranya termasuk disiplin untuk memilih bekalan yang terbaik dan soal kebersihan.

Dalam dunia hari ini ketika semua perkara mudah menjadi tular, pensijilan halal amat membantu dalam meyakinkan pengguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI