KOTA BHARU – Seramai 64 individu disahkan positif Covid-19 susulan tercetusnya Kluster Pangkal Changgong yang turut melibatkan 41 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah berasrama di Machang semalam.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Hussin, dalam kes awal direkodkan semalam, seramai 57 individu termasuk 41 calon SPM terbabit disahkan positif Covid-19.
Katanya, susulan daripada kes itu, 259 individu terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga pelajar sekolah tersebut yang dikenal pasti sebagai kontak rapat telah menjalani ujian saringan Covid-19.
“Tjuh lagi kontak rapat tersebut disahkan positif menjadikan jumlah individu positif menjadikan jumlah keseluruhan seramai 64 orang,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Izani berkata, jangkitan wabak tersebut dipercayai berpunca daripada komuniti luar iaitu sebelum para pelajar melapor diri di asrama untuk membuat persediaan menduduki SPM. -K! ONLINE