USIANYA baharu mencecah usia 19 tahun, namun Amri (bukan nama sebenar) sudah mampu hidup mewah seperti orang berkerjaya profesional.
Ketika usianya masih ‘hijau’, dia sudah mampu menunggang motosikal berkuasa tinggi serta memiliki sebuah kereta jenis Subaru Impreza, WRX 22B STi yang berharga lebih RM100,000.
Kekayaan dimiliki oleh Amri ternyata tidak masuk akal memandangkan dia dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan dengan kedua-dua ibu bapanya hanya bekerja sebagai petani.
Situasi berkenaan membuatkan orang di sekelilingnya sangsi dengan kekayaan segera yang diperoleh oleh remaja memiliki raut wajah tampan itu.
“Pada usia belasan tahun, saya sudah merasa menaiki motosikal berkuasa tinggi dan kereta sport. Duit saya ketika itu sangat banyak dan tidak tahu mahu buat apa.
“Selalunya, saya habiskan duit dengan joli bersama rakan-rakan. Ada juga saya beri duit ini kepada ibu untuk perbelanjaan dapur di rumah,” kenang Amir dalam nada kesal.
Ternyata kekayaan yang diperoleh Amri bukanlah daripada sumber halal sebaliknya daripada kerja-kerja pengedaran dadah jenis syabu atau ‘ais’ di sebuah negeri di utara tanah air.
Cerita Amri, dia mula terjebak dengan jenayah terbabit selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila berkenalan dengan Pak Kadir di sebuah kedai makan.

Dia memaklumkan, dia sering melihat Pak Kadir yang ketika itu berusia 50-an sering menghabiskan masa di kedai berkenaan untuk melepak sambil bermain dam bersama rakan-rakannya.
Pada satu hari, dia yang ketika itu sedang makan di kedai berkenaan telah dipelawa oleh Pak Kadir untuk bekerja dengannya sebagai penghantar ‘barang’ di kedai runcit yang terletak di hujung kampung.
“Memandangkan tidak ada kerja waktu itu, saya terima pelawaan Pak Kadir dengan harapan dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga.
“Mulanya, saya dikerah untuk mengambil barang basah seperti ikan dan sayur dari pasar. Ada ketikanya, saya perlu menghantar tong gas ke rumah pelanggan,” ceritanya.
Selepas beberapa bulan bekerja, Pak Kadir mula menyuruh Amir menghantar serbuk putih yang dipek dalam plastik kecil ke beberapa lokasi.
Sebagai pekerja, Amri mengikut sahaja kehendak Pak Kadir sebelum mengetahui serbuk putih berkenaan adalah dadah jenis syabu atau lebih dikenali sebagai ais dalam kalangan remaja.
“Selepas dapat tahu benda itu haram dan menyalahi undang-undang, saya terus ambil keputusan untuk berhenti kerja.
“Bagaimanapun, Pak Kadir menolak permintaan saya itu. Dia menyogok saya supaya menjadi rakan kongsinya dengan meletakkan beg dipenuhi wang RM50 di depan mata.
“Disebabkan gelap dengan duit, saya bersetuju untuk menjadi rakan kongsi kepada Pak Kadir. Tugas saya selepas itu terhad kepada menghantar syabu kepada pelanggan sahaja,” ujarnya.
Ujarnya, kebanyakan pelanggannya ketika itu terdiri daripada remaja dan para pelajar sekolah.
Jelasnya, hasil penjualan syabu, dia berjaya meraih pendapatan sebanyak RM15,000 setiap bulan sekali gus membolehkannya hidup mewah.
Pada satu hari, selepas pulang daripada menghantar barang kepada pelanggan, Amri terbabit dalam satu kemalangan apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta.
Akibat kemalangan tersebut, dia tidak sedarkan diri kerana mengalami kecederaan parah sebelum dimasukkan ke Unit Rawat Rapi (ICU).

“Nasib saya tidak baik pada hari itu, apabila terbabit dalam kemalangan. Mungkin Allah SWT hendak beri peringatan kepada saya di atas jenayah yang saya lakukan selama ini.
“Ketika kejadian, duit jualan di dalam beg dianggarkan bernilai hampir RM10,000. Selepas sedarkan diri, polis terus tanya saya mengenai duit berkenaan.
“Saya cuma cakap, ia hasil jualan kedai. Kebetulan syabu tiada ada pada badan saya ketika itu, sekali gus membuatkan saya terlepas daripada hukuman,” katanya.
Akibat kejadian itu, Amri terus berasa takut serta serik untuk bekerja dengan Pak Kadir lagi dan mengambil keputusan untuk ‘cuci tangan’.
Selepas keluar dari hospital, dia mendapat perkhabaran bahawa Pak Kadir dan gengnya telah ‘diangkut’ oleh polis dalam satu operasi besar-besar yang dilakukan pihak berkuasa bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah.
“Saya fikir kemalangan yang berlaku ada hikmahnya. Kalau tidak, saya mungkin ditahan oleh polis bersama Pak Kadir.
“Saya tidak mahu lagi terlibat dengan kerja-kerja seperti itu lagi lepas ini. Biarlah hidup susah, janji fikiran tenang dan rezeki diperoleh halal dan berkat,” ujarnya.














