SEORANG pemuda sanggup membuang rasa malu sebaliknya aktif berkongsi kisahnya sepanjang tiga tahun bergelar pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG) di media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Bagi Muhammad Izzad Daniel Abdullah, 22, dia terpanggil berkongsi pengalaman itu kerana mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa sekali gagal tidak bermakna gagal selamanya.
Ketika ini, Muhammad Izzad yang mahu dikenali sebagai Izzad berkata, dia aktif berkongsi kisah serta pengalaman hidupnya bergelar alumni SHG di aplikasi TikTok dan YouTube.
“Tujuan saya adalah mahu berkongsi pengalaman supaya generasi akan datang tidak memilih jalan yang salah.
“Kisah hidup saya tidak seindah orang lain. Saya bergelar anak yatim piatu sejak usia lima bulan dan terpaksa menumpang kasih dengan keluarga angkat.
“Asalnya saya terjebak dengan najis dadah dan kemudian berjinak-jinak dengan kegiatan jenayah seperti samun dan pecah rumah sebelum ditangkap.
“Saya kemudian dimasukkan ke SHG pada tahun 2016 ketika usia 17 tahun sebelum keluar pada tahun 2019,” katanya kepada Panorama.
Tuturnya, pada awalnya, dia tiada keyakinan untuk berkongsi pengalaman itu, namun meneruskannya selepas mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan.

Izzad berkata, dia mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika berada di SHG dan mendapat keputusan 5A berkat usaha dan sokongan guru-guru.
Menurutnya, dia kini sedang menyambung pelajaran di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics dalam jurusan Diploma Pengurusan Penerbangan.
“Saya ingin mencapai cita-cita saya dan ingin menjadi yang terbaik daripada sebelum ini dan mahu menggembirakan keluarga angkat.
“Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana keluarga angkat saya dengan hati yang terbuka walaupun saya ini hanyalah anak angkat yang pernah merosakkan nama baik mereka dahulu,” katanya.
Memetik pula perkongsian Izzad yang menyentuh hati di Youtube, pemuda dari Pahang itu pernah menyatakan bahawa dia tidak malu untuk mengakui dirinya pelajar SHG, sebuah penjara bagi pesalah remaja yang disabitkan melakukan jenayah.
“Saya tidak malu mengakuinya kerana di situlah tempat bermulanya saya berjaya, di situlah saya mengambil SPM dan di situlah baru saya belajar,” katanya.
Lelaki itu menyatakan semasa di SHG dia telah memasang impian untuk melanjutkan pelajaran.
“Cita-cita saya hendak berjaya dalam pelajaran, saya mahu menghasilkan keputusan SPM yang dapat menggembirakan keluarga. Dengan mempunyai SPM, saya boleh menyambung pengajian.
“Kini cara saya menepis tohmahan masyarakat adalah dengan melakukan semua perkara yang positif, laksanakan kebaikan dan berusaha mencapai kejayaan.
“Andai boleh diundur masa, saya tidak mahu ubah apa-apa sebab pengalaman ini satu anugerah.
Perjalanan hidup saya telah diatur Allah dengan cantik, tanpa pengalaman ditangkap mungkin saya tidak jadi manusia hari ini. Allah mahu menunjukkan hikmah yang besar, Allah nak selamatkan saya, lalu Allah tempatkan saya di SHG,” ujarnya.
Ditanya sama ada situasi di SHG sama seperti digambarkan dalam drama Juvana, Izzad berkata, ia berlainan seperti digambarkan sebaliknya pelajar SHG dilatih dengan disiplin yang tinggi dan pelajar dididik tidak sampai mendera.
Izzad tidak nafikan ada rakan-rakannya di SHG kembali ke zaman hitam mereka, namun kebanyakannya berjaya berubah ke arah kebaikan dan menjadi insan berguna.
Izzad adalah sebahagian peserta yang dibentuk keperibadiannya melalui Projek Belia Mahir dan Projek Reben Kuning yang memberi peluang kepada golongan sepertinya melakukan aktiviti kemasyarakatan dan diberikan pekerjaan atau kemahiran sebagai peluang kedua.

Izzad menjadikan platform Projek Reben Kuning untuk berbakti kepada orang ramai sekali gus dapat memulih dan meningkatkan keyakinan dirinya untuk mendekati masyarakat.
Untuk rekod, Projek Belia Mahir dilancarkan pada tahun 2010 oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri manakala Projek Reben Kuning dilancarkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 2018 yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan.
Secara asasnya, Projek Belia Mahir bergerak sendiri sejak tahun 2010 sebelum diangkat sebagai inisiatif untuk membantu melengkapkan kluster Kebolehpasaran Kerja dalam Projek Reben Kuning pada tahun 2018.
Sejak 2018 hingga awal tahun lalu, Projek Reben Kuning telah memberi manfaat kepada 24,234 golongan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun. Daripada jumlah itu, ia melibatkan lebih 200 belia berisiko meliputi bekas tahanan, bekas banduan, orang diselia (ODS) dan pelatih atau pelajar Sekolah Henry Gurney serta Sekolah Tunas Bakti yang memerlukan peluang kedua.
Projek Belia Mahir pula telah membantu secara khusus 5,476 orang belia berisiko menyertai latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan dalam pelbagai bidang setakat ini antaranya bengkel motosikal, automotif, perkilangan dan pelabuhan. Selain itu, projek ini juga membantu golongan ini membina harapan dan mencipta keterampilan.
Ketua projek itu, Mohamad Rizan Hassan berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 40 peratus peserta pernah melalui proses kepulihan dadah serta institusi pelindungan kanak-kanak manakala 60 peratus lagi yang berpotensi melakukan jenayah dan salah laku akibat keciciran akademik.

Jelasnya, Projek Belia Mahir menawarkan pekerjaan bagi yang telah menjalani latihan kemahiran formal dan memiliki persijilan kemahiran kepada kumpulan berkenaan.
Tambahnya, sambutan yang diterima baik namun tidak dinafikan golongan tersebut berdepan pelbagai cabaran seperti stigma masyarakat bagi memulakan kehidupan baharu.
“Ada antaranya mengalami keruntuhan institusi kekeluargaan, dokumentasi kad pengenalan hilang daripada simpanan dan belanja duit poket yang terhad di peringkat awal bekerja,” katanya.
Kongsinya, untuk tahun 2020 hingga 2021, Projek Belia Mahir menyasarkan 2,000 individu dibantu bagi mendapatkan penempatan pekerjaan di syarikat-syarikat yang sedia menerima mereka.














