fbpx

Lancar bas ekspres ketika pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Ketika satu-persatu syarikat pengangkutan awam khususnya bas mula gulung tikar atau ‘mengendurkan’ perkhidmatan mereka secara perlahan-lahan susulan pandemik Covid-19, sebuah syarikat pengangkutan bumiputera, TRA Holidays Sdn. Bhd. pula bertindak melawan arus.

Syarikat bas persiaran itu bukan sahaja mengambil keputusan untuk bertahan dan meneruskan operasi, malah mengambil langkah lebih berani apabila memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu bas ekspres di bawah jenama TRA Xpress.

Menurut Pengurus Eksekutif TRA Xpress, Nur Safwan Md. Salleh, cadangan pengenalan perkhidmatan itu sebenarnya telah bermula sejak beberapa tahun lalu, namun tertangguh disebabkan oleh beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan.

Secara kebetulan katanya, tarikh pelancaran yang dipilih jatuh ketika pandemik Covid-19 masih menular dan kali ini, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain.

“Kami ambil keputusan untuk mengambil risiko dengan meneruskannya kerana awal-awal lagi kami telah siapkan ‘senjata’ untuk masuk ke dalam dunia ini.

“Apa yang penting ialah, setiap SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan kami akan patuh,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabat syarikat itu di Penaga, Kepala Batas di sini baru-baru ini.

Warga TRA Xpress bergambar dalam bas baharu syarikat yang bakal memulakan operasi tidak lama lagi.

Ketika ini, TRA Xpress memiliki dua buah bas ekspres serba moden dengan setiap satunya dianggarkan bernilai lebih RM600,000 dan bas ketiga akan menyusul dalam tempoh terdekat.

“Dengan kewujudan TRA Xpress ini juga, pihak syarikat menetapkan sasaran baharu iaitu untuk memiliki sehingga 40 buah bas dalam tempoh lima tahun,” katanya sambil memberitahu, buat masa ini TRA Xpress akan memfokuskan laluan dari utara ke selatan sahaja.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TRA Holidays, Fauziah Che Ani berkata, kewujudan TRA Xpress akan mempelbagaikan lagi perkhidmatan yang ditawarkan syarikat.

“Seperti syarikat-syarikat bas lain, kami juga sangat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini yang mengakibatkan hampir semua 10 buah bas yang kami miliki tersadai begitu sahaja di tempat parkir selama hampir 11 bulan.

“Justeru, apabila kerajaan memberi peluang kepada kami untuk bas-bas ini bergerak, kami akan manfaatkannya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Selain perkhidmatan berkaitan bas, TRA Holidays yang memiliki 17 orang kakitangan turut menawarkan perkhidmatan sewaan van dan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah serta pakej pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk pakej berkaitan umrah dan ziarah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI