fbpx

K2

Nikmati burger cara premium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFIZ bersama hidangan yang mendapat sambutan di Kaw Kaw X Stiq, Petaling Jaya.

SEBUT sahaja burger, pasti ramai yang membayangkan dua keping roti dengan di tengahnya terdapat sekeping daging serta sedikit sayur dengan sos.

Di negara ini, sajian burger boleh diperoleh dengan mudah dan banyak di gerai-gerai tepi jalan atau restoran makanan segera popular.

Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui bahawa sajian Barat tersebut lebih enak sekiranya dinikmati menggunakan daging berserta roti premium.

Itulah konsep sajian burger yang cuba diketangahkan oleh restoran Signature Kaw Kaw X Stiq yang terletak di Lebuh Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Mula dibuka sejak dua tahun lalu, restoran yang berkenaan menawarkan lebih daripada 30 menu Barat termasuklah burger, stik dan pasta.

 

SET Godfather boleh dinikmati seramai empat orang mengandungi ayam, lamb shank dan daging batang pinang dikatakan sangat berbaloi untuk dinikmati.

 

Pemilik Kaw Kaw X Stiq, Afiz Ayub berkata, restoran berkenaan menawarkan aneka sajian burger daging yang cukup enak menggunakan bahan premium dari dalam dan luar negara.

“Sajian utama di sini adalah burgernya yang lain daripada lain. Salah satu kelebihan burger di sini kerana ia menggunakan bahan-bahan buatan sendiri seperti daging dan roti.

“Antara pilihan burger daging di sini adalah seperti classic beef basic, beef cheese, beef beaconizer, beef turkeynizer dan beef smokeynizer,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Menariknya, daging yang digunakan dalam penyediaan burger di restoran berkenaan diperoleh daripada lembu jenis Black Angus yang diimport dari Australia.

Cerita Afiz, pihaknya memilih daging daripada jenis lembu berkenaan disebabkan rasanya lebih enak serta kurang lemak berbanding daging lain.

“Setahu saya, tidak banyak restoran di negara ini menggunakan daging daripada jenis lembu berkenaan untuk dijadikan daging burger disebabkan harganya lebih mahal.

SAJIAN beef truffle burger

 

 

“Bagi menghasilkan sekeping daging dengan rasa kompleks, kami perlu menggabungkan enam bahagian berlainan pada lembu seperti batang pinang (sirloin), dada (brisket), punggung (round), lambung (flank) dan bahu (chuck),” tegasnya.

Bagi memastikan rasa daging itu kekal asli, pihaknya memilih untuk tidak menggunakan sebarang perasa tambahan sebelum dimasak dengan menggunakan teknik tersendiri bersama mentega.

Mengulas mengenai roti pula, Afiz memaklumkan, pihaknya lebih selesa menggunakan roti yang dibuat sendiri pada setiap hari bagi menjamin keaslian rasanya.

“Kami tidak hanya menyediakan burger daging, malah pelanggan juga boleh menikmati pilihan burger lain seperti ayam dan kambing. Antara menu yang boleh dicuba termasuklah classic crispy chicken, crispy chicken cheese, classic lamb basic dan lamb cheese,” ujar.

Sekiranya datang secara berkumpulan, pengunjung disarankan untuk mencuba sajian yang dikenali sebagai Godfather.

Ujar Afiz, hidangan berkenaan yang mengandungi seekor ayam, lamb shank dan daging bahagian batang pinang yang dibakar menggunakan teknik tersendiri.

“Sajian Godfather ini boleh dinikmati seramai empat orang pada satu-satu masa dan ia boleh diperoleh pada harga serendah RM132. Ia sangat berbaloi,” ujarnya.

Restoran Kaw Kaw X Stiq mampu memuatkan seramai seramai 50 orang pada satu-satu masa.

STIK daging yang membuka selera.

Bagaimanapun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, restoran berkenaan hanya menawarkan perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang makanan sahaja.

“Restoran kami ini boleh didapati pada semua platform penghantaran terkemuka dan kami juga mempunyai sistem WhatsApp bagi memudahkan para pelanggan untuk membuat pesanan.

“Pihaknya sentiasa memastikan pekerjanya mematuhi prosedur operasi standard bagi kebersihan makanan sentiasa terjamin,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI