fbpx

Curi elektrik RM648,000 melombong Bitcoin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrul (tiga dari kiri) menunjukkan kabel dirampas dalam serbuan di sebuah premis yang menjalankan kegiatan melombong mata wang digital Bitcoin di Pulau Sebang di IPD Alor Gajah, di sini, hari ini.

ALOR GAJAH – Polis negeri ini berjaya menghidu kegiatan mencuri bekalan elektrik mencecah RM648,000 di sebuah premis yang menjalankan aktiviti melombong mata wang digital Bitcoin di pekan Pulau Sebang, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Alor Gajah bersama-sama penguat kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira pukul 3.30 petang.

Katanya, aktiviti itu berjaya dikesan selepas pasukan penguat kuasa mendapati berlaku penyambungan yang tidak mengikut peraturan Pencawang Padat TNB melibatkan premis tersebut.

“Semasa serbuan dibuat, premis itu dapati tidak mempunyai penjaga dan pasukan polis bertindak memecah masuk ke dalam bangunan dua tingkat berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat pemasangan kabel bekalan elektrik secara tidak teratur dan menjumpai 700 unit mesin lombong Bitcoin,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di sini, hari ini.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bagaimanapun muncul di lokasi kira-kira 30 minit kemudian sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat dijalankan premis itu dipercayai telah menjalankan kegiatan melombong Bitcoin sejak dua bulan lalu dan pemeriksaan lanjut akaun bil elektrik premis itu mendapati mereka hanya membayar sebanyak RM10 sebulan.

“Pemeriksaan kadar elektrik di bangunan itu bagaimanapun merekodkan penggunaan semasa arus lebih 3,000 ampere (Amp) iaitu kira-kira RM324,000 sebulan bagi kegunaan mesin Bitcoin tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut Shahrul berkata, modus operandi digunakan bagi kegiatan melombong Bitcoin itu adalah dengan memilih lokasi terpencil dan bangunan kedai yang tidak mempunyai ramai peniaga untuk mengaburi bunyi bising yang dikeluarkan mesin tersebut.

“Kita telah merampas kesemua 700 mesin Bitcoin dan peralatan digunakan bagi kegiatan tersebut. Setakat ini, ia merupakan rampasan terbesar membabitkan sindiket Bitcoin bagi wilayah Selatan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan sekiranya aktiviti ini mempunyai rangkaian lain di negeri ini,” katanya.

Ujarnya, lelaki yang ditahan kini direman selama dua hari bermula esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI