JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan ditahan kerana memiliki dan menjual mercun serta bunga api bernilai RM7,000 di kaki lima sebuah kedai di Permas Jaya di sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditangkap pada pukul 12.15 tengah hari.
Menurut beliau, ketika serbuan dibuat, suspek sedang menjaga mercun dan bunga api berkenaan untuk dijual kepada orang ramai.
“Siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan sejumlah mercun dan bunga api yang disimpan di rumahnya dengan nilai anggaran RM7,000.
“Suspek mengaku tidak mempunyai lesen sah untuk menyimpan dan menjual mercun serta bunga api,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Suspek direman selama dua hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Tambah Mohd. Padzli, semakan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah.
“Polis mengingatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti penjualan dan bermain bunga api serta mercun.
“Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat berhubung perkara itu kepada polis menerusi talian 07-2182323,” ujarnya.-K! ONLINE