fbpx
SYUKRI memilih untuk meminjam daripada ah long bagi meneruskan kelangsungan perniagaan yang diusahakannya.

Peniaga terdesak pinjam ah long

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Lebih 200 daripada 1,200 peniaga dan penjaja kecil berdaftar di negeri ini terpaksa mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman daripada ah long selepas mereka mendakwa kehabisan modal ekoran kekurangan pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Pendedahan itu dibuat Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia Kedah, Baharudin Moha­med Ali yang mendakwa me­nerima banyak keluhan daripada peniaga kecil yang terjejas.

Katanya, keadaan semakin rumit apabila PKP 2.0 dilaksanakan sejak awal tahun ini dan dilanjutkan sehingga 18 Februari depan.

“Akibat daripada kerugian yang dialami, rata-rata peniaga terputus modal untuk meneruskan perniagaan sehingga terpaksa meminjam dengan ah long,” katanya kepada Kosmo!.

Jelas beliau, kebanyakan peniaga meminjam dalam jumlah kecil iaitu sebanyak RM1,000 untuk dijadikan modal berniaga.

“Buat masa ini, tiada lagi kes ancaman ah long yang diterima.

“Bagaimanapun, pernah berlaku premis peniaga telah disimbah cat oleh ah long pada awal tahun lalu,” dakwanya.

Baharudin (dua dari kiri) ketika mengunjungi seorang peniaga goreng pisang di Alor Setar baru-baru ini.

Menurut Baharudin, masalah yang dialami peniaga ini telah membuka peluang kepada ah long untuk menawarkan pinjaman dengan cara mudah.

“Bagi peniaga yang boleh bayar, itu tidak jadi masalah, namun apa yang saya bimbangkan apabila peniaga terjerat dengan ramai ah long.

“Saya tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh berlaku kerana keadaan perniagaan ketika ini masih teruk,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan peniaga agar berhati-hati supaya tidak terjerat dengan ah long.

“Saya harap kerajaan dapat menawarkan pinjaman dan bantuan kewangan kepada golongan ini agar mereka tidak meminjam ah long” ujarnya.

Dalam pada itu, rata-rata peniaga dan penjaja kecil yang ditemui mendakwa terpaksa meminjam dengan ah long atau peminjam wang tanpa lesen setiap kali terputus modal untuk menjalankan perniagaan.

Kumpulan ini terdiri daripada peniaga kecil yang berniaga di pasar-pasar malam dan peniaga kuih-muih di tepi jalan.

PENIAGA dan penjaja kecil mengalami kesukaran untuk meneruskan operasi ekoran kekurangan pendapatan sejak pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu. – GAMBAR HIASAN

Dakwa mereka, pinjaman ah long lebih mudah dan pantas kerana tidak memerlukan proses permohonan mahupun dokumentasi yang menyusahkan.

Seorang peniaga pasar malam yang mahu dikenali sebagai Shukri, 47, memberitahu, dia terpaksa meminjam dengan dua ah long kerana terputus modal perniagaan.

“Pada mulanya saya rasa takut apabila banyak cerita tentang ugutan ah long termasuk kes kedai disimbah cat selain kese­lamatan diri terancam.

“Namun, disebabkan saya dan isteri mahukan wang segera de­ngan cara mudah, saya beranikan diri untuk buat pinjaman dengan ah long,” katanya.

Dakwanya, dia mendapat nombor telefon ah long daripada beberapa peniaga lain yang turut mengambil pinjaman sama.

“Saya hanya perlu menghubungi nombor yang diberi dan mereka akan tanya berapa jumlah pinjaman yang diinginkan selain lokasi kedai.

“Ah long itu kemudian akan datang untuk melihat kedai dan selepas itu dia akan berikan wang pinjaman beserta dengan kad jadual bayaran,” ujarnya.

Jelasnya, dia hanya diberikan pinjaman maksimum RM1,000 dan jumlah itu boleh dinaikkan jika peniaga dapat melangsaikan hutang dalam tempoh masa ditetapkan.

“Saya perlu membayar sebanyak RM14 sehari dalam tempoh 100 hari yang mana wakil ah long akan hubungi dan minta buat bayaran di lokasi tertentu. Biasa­nya, mereka akan tunggu di dalam kereta,” jelasnya.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Zuraida, 37, berkata, boleh dikatakan hampir kebanyakan peniaga pasar malam dikenalinya me­minjam dengan ah long.

“Paling banyak peniaga pinjam ah long adalah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu,” katanya.

Katanya, peniaga bagaimanapun perlu berhati-hati kerana ada yang terjerat dengan hutang apabila membuat pinjaman daripada ramai ah long.

“Cuba bayangkan, rakan saya terpaksa bayar RM14 hingga RM24 sehari kepada lima ah long yang mana dia perlu memperuntukkan hampir RM120 sehari atau RM3,600 sebulan,” katanya.

Dakwa beliau, rakannya itu dipercayai terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di lokasi lain bagi mengelak daripada dibu­ru ah long.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN