fbpx

Masalah internet di Pos Brooke bakal berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKMM akan menaiktaraf menara telekomunikasi berhampiran Sekolah Kebangsaan Pos Brooke di Gua Musang yang dijangka siap hujung tahun ini.

GUA MUSANG – Masalah 300 pelajar Orang Asli di Pos Brooke di sini yang ketinggalan untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat capaian internet yang lemah bakal berakhir tidak lama lagi.

Ini kerana, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menaiktaraf menara telekomunikasi yang dijangka siap hujung tahun ini.

Lebih 20 kampung di kawasan itu akan mempunyai liputan internet berkelajuan 4G yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Brooke, Kamal Rami berkata, masyarakat Orang Asli gembira dan bersyukur dengan perkembangan itu.

Katanya, pihak SKMM telah berkunjung ke kampung mereka meninjau masalah capaian internet di kawasan itu baru-baru ini.

“Kami tidak menyangka masalah bakal diselesaikan dengan cepat kerana sudah berpuluh tahun liputan internet di kawasan kami bermasalah.

“Sebagai contoh, Kampung Kingkong langsung tidak mempunyai capaian internet dan mereka terpaksa keluar dari kampung bagi mencari liputan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Ali Bagok, 40, berkata, anaknya tidak dapat belajar sepanjang proses PdPR dan hanya membuat latihan yang diberikan oleh guru menggunakan buku latihan yang disediakan.

Terdahulu, SKMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya akan menaik taraf menara komunikasi berdekatan Sekolah Kebangsaan Pos Brooke kepada liputan 4G di bawah Projek Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dijangka siap hujung tahun ini.

Selain itu, SKMM turut menangani masalah capaian internet di lima buah kampung lain termasuklah Kampung Rambai, Padang Siding, Arau, Kampung Lubuk Legong, Baling, Kampung Kuala Sat Mukim Ulu Tembeling, Jerantut, Kampung Selindang, Padang Tengku, Lipis dan Kampung Mentara Baru, Merapoh. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI