fbpx

Mahligai ‘tanpa syarat’ Intan-Harris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTAN LADYANA dan Harris Alif.

TANGGAL 5 Februari menjadi hari paling bermakna buat pasangan popular, Intan Ladyana dan Harris Alif.

Hanya dengan sekali lafaz, penyatuan cinta dua sejoli sama cantik sama padan itu terpateri apabila disatukan menerusi ikatan suci bernama pernikahan.

Melangsungkan majlis ijab dan kabul secara sederhana dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP)di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di ibu negara, kini bermulanya lembaran baharu buat mereka.

Intan dan Harris selamat dinikahkan sekitar pukul 10 pagi disempurnakan Penolong Pengarah Jawi, Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah sambil disaksikan keluarga kedua-dua mempelai seramai 14 orang.

Pada majlis serba ringkas tersebut, rombongan pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang dengan emas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian.

Intan dan Harris usai majlis pernikahan sempat meluangkan masa bersama media menerusi sidang akhbar secara maya berhubung pernikahan mereka.

Ditanya perasaan setelah selamat diijabkabulkan, Harris selaku suami meluahkan rasa syukur kepada Allah atas kelancaran majlis pernikahannya yang diadakan dalam norma baharu.

“Alhamdulillah akhirnya saya dan Intan selamat disatukan dalam keadaan sekarang (pandemik).

“Apa yang penting akad nikah. Mengenai perancangan majlis resepsi dan bertandang, semua terpaksa ditangguhkan sehingga Covid-19 pulih nanti.

“Kalau ikut perancangan awal, kami sepatutnya bernikah pada 6 Februari, tetapi terpaksa diawalkan sehari. Saya lega dan gembira apabila semuanya selesai,” katanya.

MENYULAM cinta selama setahun, mahligai perkahwinan Intan dan Harris akhirnya terbina pada Jumaat lalu.
– @fillea_studio

Ditebak mengenai persediaannya memikul tangggungjawab sebagai ketua keluarga selepas terlafaznya akad, Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi, 22, yakin dirinya sudah cukup bersedia.

Sama seperti suaminya, Intan turut meluahkan rasa syukur tidak terhingga apabila majlis pernikahannya berjalan dengan baik waima terpaksa mengharungi pelbagai rintangan akibat pandemik yang melanda negara.

“Bagi kami berdua, paling utama ialah melakukan apa yang wajib dahulu. Tidak dinafikan, semua yang dirancang terpaksa ditukar pada saat akhir rentetan Covid-19.

“Tipulah kalau dikatakan setiap wanita tidak mengimpikan dream wedding tertentu. Saya juga begitu, tetapi kita akur dengan situasi sekarang. Apa yang penting semuanya sudah selesai dan dipermudahkan-Nya,” tutur Intan.

PERBEZAAN jurang usia 17 tahun tidak menjadi penghalang buat Harris untuk menerima Intan sebagai suri hidupnya.

Tiada syarat

Diaju mengenai sebarang syarat yang mungkin ditetapkan Harris buat isterinya selepas bertukar status, juara Idola Kecil musim ketiga itu tidak meletakkan apa-apa syarat mahupun peraturan kepada Intan.

Menurutnya, dia langsung tidak menghalang apa sahaja yang mahu diteruskan kerana memahami kerjaya isterinya sebagai seorang pelakon. Harris sendiri berada dalam industri sama.

“Sebelum saya kenal Intan, dia memang sudah berlakon, jadi saya sudah faham dia punya tugas dan kerja. Nama pun berlakon.

“Kami berdua pun tahu menjaga batasan masing-masing ketika bekerja. Jadi rasanya tidak ada masalah antara kami dan tidak perlu untuk saya meletakkan sebarang syarat kepadanya,” kata Harris. Tambah Harris, apa yang paling penting ialah persefahaman dan kejujuran yang mengikat tali hubungan cinta suci mereka berdua.

HARRIS dan Intan tidak menolak dan sudah bersedia sekiranya dikurniakan zuriat dalam masa terdekat.

Tidak menolak

Bercakap tentang zuriat dan adakah mereka sudah merancang untuk mempunyai anak dalam masa terdekat, Haris dan Intan tidak meletakkan sebarang jangka masa.

Buat masa ini, pasangan itu tidak mahu merancang soal anak terlebih dahulu, namun tidak menolak seandainya dikurniakan rezeki lebih awal.

“Menjadi suami adalah tanggungjawab baharu saya. Dahulu hidup bujang, sekarang sudah berdua, mungkin lepas ini bertiga atau berempat. Semua itu ketentuan-Nya.

“Kami pun tidak merancang soal anak. Bila-bila saja kami bersedia untuk ada anak,” ungkap Harris yang turut merupakan pengacara bagi rancangan Generasi Z.

Sama seperti Harris, Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, 39, turut menyatakan kesediaan untuk bergelar seorang ibu walaupun masih banyak urusan tertangguh berkenaan kerjanya yang perlu diselesaikan.

“Insya-Allah, bila tiba masanya nanti, saya akan fokus dan selesaikan kerja-kerja yang tertangguh itu.

“Kemudian bila sudah tidak larat, saya akan berhenti penggambaran dan memberikan 100 peratus fokus kepada keluarga,” ujar pelakon yang popular menerusi filem Adnan Semp-It itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI