fbpx

Empayar Kekaboo semakin mengukuh pada tahun 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kekaboo Sdn. Bhd. (Kekaboo) kini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pengeluar tudung popular di Malaysia ke­rana penguasaan pasarannya semakin bertambah.

Seiring dengan permintaan yang semakin meningkat apatah lagi pada pasca pandemik Co­vid-19, syarikat bakal berpindah ke bangunan ibu pejabat yang turut menempatkan kilang baharunya seluas 0.8 hektar di Batu Caves, Selangor pada suku pertama tahun ini.

Menurut Pengurus Pemasarannya, Nur Hazwani Abdul Zainal, Kekaboo adalah satu-satunya pengeluar tudung yang memiliki kilangnya sendiri di negara ini yang mana ia dilengkapi dengan 14 pencetak tudung bawal.

Sebelum ini, syarikat terpaksa mengimport corak rekaan tudung dari luar negara tetapi ia memberi masalah kepada syarikat kerana menerima jumlah yang terhad untuk diedarkan kepada pelanggan.

“Kelewatan ini menganggu operasi sedia ada dan pelanggan terpaksa menunggu untuk mendapatkan tudung idaman masing-masing yang dibeli secara online.

“Jadi kami terpaksa mengambil inisiatif untuk mencetak sendiri tudung di kilang sementara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Pelaburan kira-kira RM1 juta yang dibuat syarikat untuk membangunkan empayar Kekaboo menunjukkan komitmen syarikat terhadap industri pembuatan tudung dan pengedarannya yang berpotensi di seluruh negara.

Apa yang perlu dilakukan oleh pemain industri berkenaan adalah dengan memberi suntikan inovasi dan kreatif kepada produk masing-masing untuk meme­nuhi cita rasa pelanggan yang semakin ke hadapan.

Siapa sangka di sebalik keunikan tudung dan kecantikan model yang menggayakan tudung bawa Kekaboo, orang kuat di sebalik jenama tersebut ialah seorang usahawan yang dahulunya terlibat dalam sektor minyak dan gas.

Idea penubuhan syarikat yang diketengahkan Pengasas dan Pengarah Urusannya, Ahmad Tajuddin Mohamad Nor pada tahun 2014 itu kini membuahkan hasil meskipun beliau bukan seorang yang lahir dalam bidang fesyen.

Berkat usaha dan minat yang mendalam, Ahmad Tajudin, 37, yang mengambil jurusan Bioteknologi itu turut mencabar diri untuk menjadi ‘pereka’ dalaman syarikat bagi menghasilkan corak tudung yang lebih kreatif dan memenuhi cita rasa para peminat tudung bawal.

Ini kerana pada tahun awal penubuhan Kekaboo, syarikat sukar untuk mendapatkan pereka kreatif untuk tudung dan beliau terpaksa berusaha menghasilkan sendiri rekaan corak yang bersesuaian dengan kehendak pasaran ketika itu.

Bermula di situ, Kekaboo terus maju ke hadapan dengan kajian dan pembangunan yang sentiasa dilaksanakan bagi menghasilkan tudung berkualiti setiap bulan.

Nama Kekaboo yang sentiasa bermain di bibir peminat tudung bawal itu pula berasal daripada nama pokok kekabu yang mana bahan mentah tersebut cukup terkenal dalam proses pembuatan bantal secara tradisional di kampung dan juga di luar bandar.

Ciri kekabu yang putih dan lembut itu diguna pakai dalam jenama produk syarikat kerana ia sinonim dengan penggunaan fabrik yang lembut dan ringan.

“Dipadatkan dengan ciri fabrik yang tidak licin, tidak luntur warnanya apabila dipakai dan diba­suh beberapa kali membuatkan ia berjaya menambat hati pelangan untuk terus setia kepada jenamanya.

“Tudung itu juga mudah dipakai dan bahagian tudung juga mudah dibentuk terutamanya bahagian sengkuap yang terletak cantik apabila digayakan.

“Lebih penting, tudung kami dikeluarkan dengan saiz berbidang besar, jadi ia sesuai untuk wanita berbadan besar yang mementingkan aurat dan keselesaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Nur Hazwani menerangkan, tudung bawal Kekaboo mementingkan ciri eks­klusif bagi setiap koleksi yang dihasilkan dengan mengehadkan coraknya dengan jumlah keluaran tudung serta tidak akan ditambah selepas ia habis dijual.

Ini bertujuan untuk memboleh­kan pelanggan merasai sendiri nilai eksklusiviti pada corak dan warna yang digayakan mereka.

Tambah beliau, pada awal penubuhan syarikat, Kekaboo hanya mengeluarkan 1,000 helai tudung untuk satu rekaan dan syarikat pula hanya melancarkan 20 rekaan tudung pada tahun berkenaan.

Kini, perubahan masa dan permintaan pelanggan, syarikat menghasilkan 3,000 hingga 3,500 helai tudung untuk satu koleksi.

“Pernah satu ketika, hanya dalam tempoh lima minit, kami berjaya menjual kesemua tudung di bawah koleksi baharu itu,” jelasnya.

Beliau melihat faktor harga tudung yang dijual secara online melalui 350 pengedarnya di seluruh negara pada harga berpatutan antara RM25 hingga RM35 sehelai juga menjadi salah satu daripada penyumbang peningkatan jualan syarikat.

Jelasnya, berdasarkan harga yang menarik itu, pelanggan syarikat adalah daripada golo­ngan suri rumah, pelajar, pekerja sektor awam dan juga kakitangan sektor swasta yang mana rata-ratanya daripada mereka berpendapatan sederhana.

Ditanya tentang trend corak baharu pada tahun 2021, Nur Hazwani menjelaskan, cita rasa pelanggan mungkin akan kekal memilih tudung yang bercorak bunga dan mungkin ada juga perubahan cita rasa pelanggan untuk memilih corak abstrak.

“Bagaimanapun, pillihan corak warna pula adalah lembut dan tidak terlalu terang,” jelas beliau yang pernah berkhidmat sebagai jururawat di Arab Saudi sebelum pulang ke Malaysia untuk memberi tumpuan terhadap perniagaan jualan tudung di Keka­boo.

Ditanya mengenai impak pandemik Covid-19 kepada Kekaboo bermula pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), operasi perniagaan me­nurun, mungkin kerana pelanggan terkejut dengan persekitaran semasa yang sukar ketika itu.

Selepas tempoh berkenaan, akti­viti jualan secara online me­ningkat kerana masyarakat ba­nyak melakukan aktiviti di rumah dengan melayari internet sambil membeli-belah di rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI